Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Pencuri tegar sejak 1999 tak insaf

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Seorang lelaki tempatan dikenali sebagai ‘Simin’ yang memegang senarai panjang sabitan terdahulu sejak 1999, akan mengetahui nasibnya pada 10 September ini selepas dia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret pada Sabtu minggu lalu atas satu lagi siri kecurian.

    Adi Sukri bin Haji Sulaiman, 47, dalam kes tersebut, melakukan empat tuduhan mencuri, yang pertama membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun manakala baki tiga tuduhan lagi, masing-masing membawa hukuman tambahan kepada 10 tahun penjara, disebabkan perbuatan jenayah yang berulang kali dilakukan dalam tempoh terdekat.

    Majistret Nur Eleana binti DSP Haji Hairol Arni memerintahkan defendan untuk ditahan reman sambil mempertimbangkan hukuman setimpal.

    Pendakwa Raya Nurul Husna Aqilah binti Haji Abidin mendedahkan di mahkamah, defendan pada 11 Ogos jam 6:09 petang, semasa berada di sebuah kedai di ibu negara telah mencuri dompet yang ditinggalkan seorang penjaga kedai yang sedang sibuk.

    Dompet itu mengandungi kad pengenalan, kad ATM bank dan duit $20, namun perbuatan defendan telah dirakam oleh CCTV kedai tersebut.

    Dia sekali lagi melakukannya pada 12 Ogos jam 1:40 petang dengan mencuri beg bersama dompet dan kandungannya yang berupa kad pengenalan, kad ATM bank dan wang $10 dari sebuah kereta yang dibiarkan tidak berkunci.

    Defendan juga mencuri beg di sebuah kedai di ibu negara pada 15 Ogos jam 11:55
    pagi dengan melarikan dua kad pengenalan, kad ATM bank, lesen memandu, kad bank lain, telefon bimbit, kad akses pintu pagar rumah, wang RM150 dan $50.

    Pada kejadian 16 Ogos jam 12:11 tengah hari, defendan yang berada di kedai yang terletak di lorong Jalan Gerai Timur di ibu negara telah melihat seorang pemandu keluar dari keretanya dan berjalan ke salah sebuah kedai.

    Dalam kesempatan itu, defendan terus berjalan ke kereta tersebut dan mencuri beg yang mengandungi telefon bimbit, rantai emas dan satu set kunci kereta.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...