Pendaftaran dapatkan keputusan SPUB melalui SMS dibuka

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 DIS – Pendaftaran bagi mendapatkan keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB) tahun 1440H/2019M melalui pesanan ringkas (SMS) akan dibukakan bermula esok (16 Disember) jam 9 pagi.

Perkara ini dimaklumkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Bahagian Peperiksaan, Jabatan Pengajian Islam selaku Urus Setia Lembaga Peperiksaan Pelajaran Ugama Brunei (LPPUB) dengan kerjasama Bahagian Teknologi Maklumat dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Kenyataan menyatakan, calon-calon peperiksaan, ibu bapa atau penjaga yang ingin melanggan perkhidmatan berkenaan dikehendaki mendaftar terlebih dahulu, sama ada secara online atau melalui perkhidmatan SMS menggunakan telefon bimbit secara percuma. Pendaftaran secara online boleh dibuat menerusi Iaman sesawang KHEU di www.kheu.gov.bn.

Manakala, bagi pendaftaran melalui perkhidmatan SMS adalah dengan menaip KHEU (jarak) REG (jarak) nombor pusat peperiksaan (jarak) nombor indeks calon (jarak) nombor kad pengenalan pintar dan hantar ke talian 8885555 bagi pelanggan DST atau 38666 bagi pelanggan PCSB.

Pendaftaran yang berjaya akan dimaklumkan kepada pelanggan melalui SMS tanpa sebarang kos kepada pelanggan.

Keputusan peperiksaan SMS hanya akan dihantar kepada pelanggan yang berdaftar setelah keputusan peperiksaan dikeluarkan.

Pelanggan akan dikenakan caj $1 bagi setiap SMS keputusan peperiksaan yang diterima. Sehubungan dengan itu, para pelanggan dipohon agar dapat memastikan telefon bimbit masing-masing mempunyai baki kredit yang mencukupi.