Pendaftaran keputusan SSSRU melalui SMS mula dibukakan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 FEB – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) memaklumkan bahawa pendaftaran bagi mendapatkan keputusan Peperiksaan Sijil Sekolah-sekolah Rendah Ugama (SSSRU) Tahun 1440H/2019M melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) mula dibukakan hari ini.

Calon-calon, ibu bapa atau penjaga yang melanggan perkhidmatan berkenaan yang disediakan oleh Bahagian Peperiksaan Jabatan Pengajian Islam (JPI) selaku Urus Setia Lembaga Peperiksaan Pelajaran Ugama Islam (LPPUB) boleh mendaftar secara online atau melalui perkhidmatan SMS.

KHEU dalam kenyataannya yang diterima hari ini menjelaskan bahawa pendaftaran secara online boleh dibuat menerusi laman sesawang KHEU, www.kheu.gov.bn.

Manakala itu, bagi pendaftaran melalui SMS adalah dengan menaip KHEU (jarak) REG (jarak) nombor pusat peperiksaan (jarak) nombor indeks calon dan hantar ke talian 8885555 bagi pelanggan DST atau 38666 bagi pelanggan Progresif.

Pendaftaran yang berjaya akan dimaklumkan kepada pelanggan melalui SMS tanpa sebarang kos.

Kenyataan menyatakan, SMS keputusan peperiksaan hanya akan dihantar kepada pelanggan yang berdaftar setelah keputusan peperiksaan dikeluarkan.

Pelanggan akan dikenakan caj $1 bagi setiap SMS keputusan peperiksaan yang diterima.
Sehubungan itu, para pelanggan dipohonkan agar memastikan telefon bimbit masing-masing mempunyai baki yang mencukupi.

Dengan perkhidmatan ini diharap akan memudahkan para calon, ibu bapa atau penjaga mengetahui keputusan Peperiksaan SSSRU secara individu dengan lebih cepat dan tepat.

Bagi sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut mengenai kaedah pendaftaran serta terma dan syarat bagi perkhidmatan ini, bolehlah menghubungi Mach Telecommunication Systems Sdn Bhd melalui e-mel [email protected]