KUALA LUMPUR, 21 FEB – Pendaftaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) kini melepasi sejuta individu iaitu 28 peratus bagi kohort kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun selepas tiga minggu pelaksanaan program itu, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Menerusi akaun Twitternya hari ini, beliau berharap ibu bapa tidak lagi mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ bagi mendaftarkan anak mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin
COVID-19.
“Harap ibu bapa tidak lagi mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ sebab kadar kemasukan hospital kanak-kanak mula meningkat. Daftarkan anak anda untuk #PICKids hari ini!” menurut hantaran itu. – Bernama