JAKARTA, 8 Jan – Pendaftaran Pilihan Raya Kepala Daerah (Pilkada) Indonesia, yang mula dibuka hari ini, dilihat bakal memberi gambaran awal kepada proses pencalonan presiden pada Pemilihan Umum (Pemilu) 2019.
Portal Komisi Pemilihan Umum (KPU) menyatakan bahawa pendaftaran Pilkada 2018 yang berlangsung sehingga 10 Januari ini, melibatkan 17 provinsi (wilayah), 115 kabupaten (daerah) dan 39 kota (bandar).
Ketua KPU Arief Budiman berkata semua pusat KPU bagi proses pendaftaran calon dibuka mulai 8 pagi hingga 4 petang. Media tempatan dalam talian turut menyifatkan 2018 sebagai tahun politik di Indonesia apabila parti-parti politik menamakan calon-calon mereka untuk Pilkada, yang dijangka memberi gambaran kepada kepentingan politik mereka dalam pencalonan presiden dan wakil presiden pada Pemilu 2019. Proses pengundian bagi Pilkada 2018 dijadualkan pada 27 Jun 2018 manakala pendaftaran bagi pencalonan presiden pada Ogos 2018 dan pengundian Pemilu pada April 2019.
Pilkada 2018 tidak melibatkan provinsi Jakarta, yang telah pun diadakan pada 2017. Berdasarkan data KPU, jumlah pengundi bagi Pemilu 2019 dijangka mencecah 200 juta orang. Jumlah pengundi pada Pemilu 2014 ialah seramai 192 juta pengundi. – Bernama