Tuesday, April 16, 2024
36 C
Brunei

    -

    Pendaftaran Program Bas Belia 2022 dibuka

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Golongan belia dialu-alukan untuk menyertai Program Bas Belia 2022 yang merupakan program sampingan sempena Sambutan Hari Belia Kebangsaan ke-17, 2022.

    Program itu merupakan kesinambungan daripada Program Pertukaran Belia Daerah-daerah yang mula diperkenalkan pada 2016 dan melalui evolusi kepada Program Bas Belia sejak 2018 dengan 2022 merupakan kali ketiga program berkenaan diadakan.

    Menurut Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), penyertaan dibukakan kepada 40 orang belia yang berumur antara 15 hingga 25 tahun dan sasaran penyertaan terdiri daripada kalangan belia sekolah, belia yang mewakili majlis perundingan mukim atau majlis perundingan kampung (MPK).

    Ia juga menyasarkan penyertaan daripada belia persatuan, ahli takmir masjid, wakil-wakil dari pertubuhan beruniform dan dalam kalangan belia yang menerima bantuan di bawah kendalian Jabatan Pembangunan Masyarakat, Majlis Ugama Islam Brunei dan Yayasan serta berumur antara 15 hingga 22 tahun pada September 2021.

    Syarat lain adalah hendaklah berstatus bujang dan memiliki kesihatan serta keadaan fizikal yang baik dan cergas.

    Program Bas Belia 2022 akan bermula pada 30 Ogos hingga 3 September di mana ia dianjurkan oleh KKBS dengan kerjasama beberapa buah kementerian.

    Program yang dikendalikan oleh Jabatan Belia dan Sukan melalui pusat-pusat belia di keempat-empat daerah itu juga mendapat kerjasama daripada beberapa buah agensi kerajaan, pihak swasta, persatuan dan MPK.

    Dengan mendukung tema ‘Belia Siaga Masa Depan’, para peserta akan mengikuti aktiviti-aktiviti yang menjurus kepada pembangunan kerohanian, memperkasa ilmu pengetahuan, mempertingkat dan menguasai kemahiran, membina ketahanan fizikal dan membentuk jati diri dalam menghidupkan semangat perpaduan.

    Para peserta akan menjelajah ke seluruh daerah melalui aktiviti lawatan dan interaksi langsung bersama komuniti dan masyarakat.

    Sehubungan itu, para belia yang berminat untuk mendapatkan keterangan lanjut dan bagi pendaftaran, boleh menghubungi mana-mana cawangan Jabatan Belia dan Sukan di daerah masing-masing.

    Tarikh tutup mengembalikan borang adalah pada 8 Ogos, pukul 3 petang dan borang boleh
    dikembalikan di mana-mana cawangan daerah-daerah Jabatan Belia dan Sukan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sapporo alami musim panas paling awal

    TOKYO, 15 APRIL - Suhu di bandar utara Jepun, Sapporo melepasi 25 darjah Celsius, catatan paling awal dalam mana-mana tahun dalam rekod, kata seorang...