Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Okt – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Negara Brunei Darussalam kini sedang menerima permohonan daripada belia Brunei yang berminat untuk menyertai Program Persahabatan Akademik dan Profesional Musim Bunga 2019, Inisiatif Pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) yang akan diadakan di AS.
Menurut kenyataan Kedutaan AS, program akademik YSEALI merupakan program akademik intensif selama lima minggu yang menyediakan peluang kepada pemimpin muda berusia antara 18 hingga 25 tahun dari seluruh rantau ASEAN.
Ia bertujuan untuk memberikan peluang kepada kumpulan pemimpin muda mengenali lebih mendalam mengenai AS pada masa yang sama, meningkatkan lagi kemahiran akademik dan kepimpinan mereka.
Mereka yang berjaya menyertai program berkenaan akan mengikuti pengajian topik pilihan melalui perbincangan seminar, pembentangan berkumpulan dan kuliah bermatlamat untuk mengukuhkan kepimpinan serta memupuk sebuah Komuniti ASEAN untuk menangani isu-isu berkepentingan bersama merentas sempadan.
Topik-topik yang diketengahkan termasuk penglibatan sivik, isu-isu alam sekitar dan pengurusan sumber-sumber asli serta keusahawanan sosial dan pembangunan ekonomi di mana permohonan bagi menyertai program akademik dibuka sehingga 5 November.

Sementara itu, Program Persahabatan Profesional YSEALI memberikan peluang kepada para peserta yang berusia antara 25 hingga 35 tahun untuk menyertai program penempatan kerja khusus selama lima minggu bersama organisasi bukan berasaskan keuntungan, kerajaan setempat atau sektor swasta.
Mereka berpeluang untuk membangunkan kepakaran praktikal, kemahiran kepimpinan dan rangkaian profesional menerusi kerja mereka dengan rakan sebaya AS serta rakan-rakan profesional ASEAN yang lain.
Empat tema ditawarkan di bawah program berkenaan iaitu ‘Penglibatan Sivik’, ‘Memperkasakan Ekonomi’, ‘Masyarakat dan Urus Tadbir’ serta ‘Alam Sekitar dan Pembangunan Mapan’ yang mana permohonan bagi menyertai program berkenaan dibukakan sehingga 16 November.
Mereka yang berminat untuk memohon menyertai program-program berkenaan boleh memuat turun borang permohonan melalui https://bn.usembassy.gov/education-culture/yseali/current-opportunities/.