WASHINGTON, 13 NOV – Usahawan bilionair AS Elon Musk berkata perkhidmatan langganan bulanan Twitter akan kembali dan pendaftaran baharu boleh dilakukan seawal minggu depan.
Pengguna Twitter mengalami masalah mendaftar untuk perkhidmatan Twitter Blue. The Washington Post melaporkan pada Jumaat, memetik nota dalaman syarikat bahawa Twitter menghentikan sementara pendaftaran langganan pada malam Khamis.
Ditanya oleh pengguna Twitter bila perkhidmatan langganan akan dibuka, Musk pada Sabtu menulis dalam ciapan ‘mungkin akhir minggu depan’, kata Sputnik.
Perkhidmatan langganan bulanan berbayar Twitter Blue menambah tanda semak biru pada akaun pengguna dan menawarkan akses awal untuk mereka memilih ciri-ciri baharu yang ditawarkan.
Syarikat itu memulakan pelancaran ciri baharu itu pada 9 Nov. Dalam tempoh sehari, banyak akaun parodi palsu di Twitter dilihat seperti sah, dengan beberapa daripadanya menyiarkan kandungan yang meragukan.
Musk berkata akaun Twitter yang menyamar sebagai orang lain mulai sekarang mesti memasukkan perkataan ‘parodi’ dalam graf nama akaun dan bukannya graf bio. Musk juga menegaskan bahawa berdasarkan pengesahan secara menyeluruh, tidak akan ada lagi amaran sebelum penggantungan, dan peraturan ini akan menjadi syarat untuk mendaftar ke Twitter Blue. – Bernama