Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Pendakap selamatkan nyawa anak zirafah

    ESCONDIDO, CALIFORNIA – Sejak tiga dekad lalu, Ara Mirzaian telah memasang pendakap untuk semua orang daripada atlet paralimpik kepada kanak-kanak yang menghidapi scoliosis.

    Namun Msituni merupakan pesakit yang lain daripada lain – ia adalah seekor anak zirafah yang baru lahir.

    Anak zirafah itu lahir pada 1 Februari di Taman Safari Zoo San Diego di Escondido, utara San Diego, dengan kaki depannya membengkok dan tidak dapat berjalan dengan betul.

    Kakitangan safari bimbang ia mungkin mati sekiranya mereka tidak membetulkan keadaannya dengan serta-merta, yang mungkin menghalangnya daripada minum susu dan berjalan di sekitar habitatnya.

    Namun mereka tidak mempunyai pengalaman untuk memasang pendakap pada anak zirafah. Ia terbukti amat mencabar memandangkan ia seekor anak baru lahir dengan ketinggian 5 kaki dan 10 inci dan membesar menjadi lebih tinggi setiap hari.

    Doktor haiwan zoo dan pakar dalam pendakap di Klinik Hanger sedang memasang pendakap pada Msituni, anak zirafah yang lahir tidak normal di Taman Safari Zoo San Diego, utara San Diego. – AP
    Msituni bersama pendakap yang dipasang untuk membantunya berjalan di sekitar zoo. – AP
    Gambar serahan Perikatan Hidupan Liar Zoo San Diego menunjukkan Msituni, anak zirafah yang lahir dengan gangguan luar biasa yang menyebabkan kakinya membengkok, di Taman Safari Zoo San Diego di Escondido, utara San Diego. – AP

    Maka, mereka berjumpa dengan pakar pendakap di Klinik Hanger, di mana Mirzaian memperkenalkan pesakit haiwan pertamanya.

    “Ia kelihatan di luar alam nyata apabila saya pertama mendengar mengenainya,” beritahu Mirzain kepada The Associated Press pada minggu ini semasa satu kunjungan untuk bertemu dengan Msituni, yang sedang berjalan mendada bersama zirafah lain yang tidak mempunyai masalah.

    “Sudah tentunya, apa yang saya lakukan adalah mengkaji zirafah di internet setiap hari sehinggalah kami keluar dari sini,” katanya.

    Zoo kini semakin beralih kepada profesional perubatan yang merawat orang untuk mencari jalan penyelesaian untuk haiwan yang sakit.

    Kolaborasi berkenaan amat membantu dalam bidang prostetik dan pendakap. Pada awal tahun ini, Zoo Tampa di Florida telah bergabung dengan pakar yang sama dan berjaya mengganti paruh seekor burung enggang yang menghidapi penyakit kanser dengan prostetik cetakan 3D.

    Kumpulan Hanger di California telah memasang pendakap untuk seorang pelumba basikal dan pendayung kayak yang memenangi pingat seterusnya pada Paralimpik 2016 di Brazil selain membuat pendakap mengikut pesanan untuk seorang pelari maraton dengan sklerosis berbilang yang bertanding di tujuh benua.

    Dan pada tahun 2006, pasukan Hanger di Florida membangunkan prostetik untuk seekor dolfin yang kehilangan ekornya selepas terbelit dalam tali daripada bubu ketam. Kisahnya mencetuskan inspirasi dalam pembikinan filem ‘Dolphin Tale’ pada 2011.

    Namun ia merupakan lengkung pembelajaran untuk semua, termasuk Matt Kinney, seorang pakar veterinar untuk Perikatan Hidupan Liar Zoo San Diego yang mengambil alih kes Msituni.

    “Lazimnya kami meletakkan kas atau kain pembalut. Tetapi sesuatu yang terperinci dan kompleks, seperti pendakap ini, ia adalah sesuatu yang kami perlu bergantung pada pakar perubatan kami,” kata Kinney.

    Msituni mengalami masalah hyperextended carpi – tulang sendi pergelangan di depan kaki zirafah, yang lebih merupakan tangan. Ketika ia dipasang dengan pendakap, kaki depan keduanya juga mula melengkung. Sendi kaki belakangnya juga lemah tetapi berjaya dibetulkan dengan memasang tapak kaki khas.

    Memandangkan Msituni hanya mempunyai berat 55 kilogram semasa lahir, keabnormalan yang dialami telah pun memberikan bebanan kepada sendi dan tulangnya.

    Sementara pendakap yang dibuat mengikut tempahan sedang dibangunkan, Kinney pertama membeli pendakap lutut di Target yang dipotong dan dijahit semula, tetapi ia sering tertanggal. Seterusnya Msituni memakai pendakap jenis perubatan untuk manusia yang diubahsuai untuk kakinya yang panjang. Namun akhirnya Msituni memecah salah satu daripadanya.

    Untuk membolehkan pendakap buatan khas itu berfungsi, mereka perlu memiliki pelbagai jenis pergerakan serta tahan, maka Hanger bekerjasama dengan sebuah syarikat yang menghasilkan pendakap kuda.

    Menggunakan acuan kas kaki zirafah, ia mengambil masa lapan hari untuk menghasilkan pendakap grafit karbon yang memaparkan corak tersendiri haiwan tersebut dengan tompok-tompok untuk memadankannya dengan bulu zirafah.

    “Kami meletakkan corak zirafah untuk menjadikannya lebih menarik,” kata Mirzaian. “Kami selalu melakukannya dengan budak-budak. Mereka boleh memilih adiwira, atau pasukan kegemaran mereka dan kami meneranya pada pendakap mereka. Maka kenapa tidak melakukannya dengan zirafah?”

    Pada akhirnya, Msituni hanya memerlukan satu pendakap. Kaki yang satu lagi pulih sendiri dengan bantuan pendakap perubatan.

    Apabila mereka mencuba memasang pendakap yang ditempah khas, Mirzaian amat terharu dengan kecantikan haiwan itu sehingga dia memeluknya.

    “Saya rasa amat kagum melihat haiwan yang begitu besar dan cantik berbaring di depan saya,” katanya.

    Selepas 10 hari dipasang pendakap khas itu, masalah berjaya diatasi.

    Pada keseluruhannya, Msituni memakai pendakap selama 39 hari dari hari ia dilahirkan. Ia tinggal di hospital haiwan sepanjang masa. Selepas itu, dia diperkenalkan kepada ibunya dan haiwan lain dalam kumpulan itu.

    Ibunya tidak menerimanya, tetapi seekor zirafah betina lain telah menjadikannya anak angkat, dan ia kini boleh berlari bersama zirafah lain.

    Mirzaian berharap dapat menggantung gambar anak zirafah dalam pendakap bercoraknya untuk membangkitkan inspirasi kepada pesakit kanak-kanak lain untuk memakai pendakap mereka.

    “Sungguh teruja dan mengagumkan apabila melihat seekor haiwan berjalan dalam pendakap. Rasa seronok mengetahui kami berjaya menyelamatkan nyawa seekor zirafah,” katanya. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...