KATHMANDU, 27 SEPT – Peluncur ski gunung terkenal Amerika Syarikat (AS), Hilaree Nelson hilang di gunung Manaslu, Nepal, pada hari sama runtuhan salji membunuh seorang pendaki Nepal di puncak sama, menurut penganjur dan pegawai ekspedisi hari ini.
Nelson sedang meluncur turun Manaslu selepas berjaya mendaki gunung kelapan tertinggi dunia itu bersama teman lelakinya, Jim Morrisson pada Isnin.
“Dia ditimpa kemalangan semalam ketika meluncur turun sejurus selepas berjaya dalam pendakiannya. Kami cuba mendapatkan pengesahan mengenai apa yang berlaku,” Jiban Ghimire dari Shangri-La Nepal Trek yang menganjurkan ekspedisi, memberitahu AFP.
Dua buah helikopter mencari dan menyelamat dikerahkan ke kawasan itu, menurut pegawai jabatan pelancongan, Bigyan Koirala. “Dia dipercayai tergelincir hampir dengan kemuncak gunung. Pasukan penyelamat berjalan kaki juga akan dikerahkan ke kawasan kemalangan,” katanya kepada AFP.
Pada hari sama, satu runtuhan salji melanda antara Kem 3 dan 4 pada ketinggian 8,163 meter gunung itu, membunuh seorang pendaki Nepal dan mencederakan puluhan lagi yang lain. – AFP
