Pendaki Nepal tawan puncak K2

KATHMANDU, 26 JAN – Pendaki Nepal yang berjaya menawan Gunung K2, puncak paling bahaya di dunia, pertama kali pada musim sejuk, disambut dengan penuh meriah di tanah air.

Pendakian mereka ke puncak gunung kedua tertinggi di dunia itu, bermula pada pertengahan Januari, disifatkan paling mencabar dengan ketinggian 8,611 meter yang turut dikenali sebagai gunung sukar didaki di Pakistan.

Ketibaan kumpulan pendaki terbabit disambut dengan nyanyian lagu patriotik dan kibaran bendera kebangsaan, selain menerima kalungan bunga.

“Ini bukan kejayaan kami semata-mata. Ini untuk semua rakyat Nepal supaya generasi akan datang boleh melihat dan berbangga dengan kejayaan pendaki Nepal,” menurut seorang daripada 10 pendaki, Mingma Gyaje.

Kami Rita sherpa pula yang pernah mendaki Gunung Everest sebanyak 24 kali berkata, pengiktirafan sesuatu yang amat dinantikan.

Pendaki barat tidak berupaya mencatatkan rekod mendaki Everest tanpa bantuan sherpa.

“Kami yang menyediakan laluan kepada mereka. Kami yang memasak makanan. Barangan mereka dipikul saudara kami. Mereka tidak melakukannya sendirian,” katanya.

Ketika pendakian, kumpulan terbabit menyanyikan lagu kebangsaan sambil mengibarkan bendera Nepal sebagai simbolik pencapaian dan rasa bangga membawa nama negara, sebaik saja menghampiri puncak gunung terbabit.

Sejak kumpulan pertama British berjaya ke puncak Everest, pendaki Nepal dari etnik Sherpa, sentiasa berada di sisi, membantu mereka menawan puncak tertinggi dunia itu. – AFP