Wednesday, November 6, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pendaki paling muda pecah rekod tawan 14 gunung

    KATHMANDU, 9 OKT – Seorang pendaki gunung Nepal berusia 18 tahun hari ini memecahkan rekod orang paling muda mendaki semua 14 puncak gunung dunia berketinggian 8,000 meter (m), kata pasukannya.

    Nima Rinji Sherpa sampai ke puncak Shisha Pangma setinggi 8,027m di Tibet hari ini, menamatkan misinya untuk berdiri di puncak tertinggi di dunia.

    “Dia tiba di puncak pagi ini. Dia telah berlatih dengan baik dan saya yakin dia berjaya melakukannya,” kata bapanya, Tashi Sherpa kepada AFP.

    Mendaki semua 14 puncak setinggi 8,000m dianggap sebagai kemuncak aspirasi pendakian gunung.

    Pendaki melintasi zon kematian di mana tidak ada oksigen yang mencukupi di udara untuk mengekalkan kehidupan manusia bagi tempoh yang lama.

    Nima Rinji Sherpa telah memecahkan rekod sebagai pendaki termuda yang berjaya menawan puncak Shisha Pangma setinggi 8,027m di Tibet, China pada 9 Oktober. – AFP

    “Puncak gunung itu bukan sekadar kemuncak perjalanan peribadi saya, tetapi penghormatan kepada setiap Sherpa yang berani mengimpikan di luar batasan,” kata Sherpa dalam satu kenyataan.

    “Mendaki gunung lebih daripada kerja keras, ia adalah bukti kekuatan, ketabahan dan semangat kami.”

    Sherpa bukan orang asing di pergunungan, berasal dari keluarga pendaki gunung yang memegang rekod, di mana dia juga kini mengendalikan syarikat ekspedisi mendaki gunung terbesar di Nepal.

    Rekod itu sebelum ini dipegang oleh seorang lagi pendaki Nepal, Mingma Gyabu ‘David’ Sherpa.

    Dia mencapainya 2019 lalu, pada usia 30 tahun. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda