Friday, December 6, 2024
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pendaki terkemuka Slovakia maut di Nepal

    PRAGUE, 3 NOV – Seorang pendaki terkemuka Slovakia maut ketika menuruni puncak Langtang Lirung setinggi 7,234 meter di Nepal selepas melakukan pendakian bersejarah di bahagian timur gunung tersebut, menurut Persatuan Pendaki Slovakia (SHS James), hari ini.

    Ondrej Huserka, anggota pasukan pendaki kebangsaan Slovakia yang memiliki pengalaman mendaki di Alps, Patagonia, Pergunungan Pamir dan Himalaya, dilaporkan terjatuh ke dalam rekahan glasier pada Khamis lalu.

    Rakan pendakinya dari Republik Czech, Marek Holecek, menyatakan bahawa mereka baru sahaja berjaya menakluki puncak Langtang Lirung melalui laluan timur buat kali pertama dalam sejarah.

    SHS James pada awalnya menyeru agar operasi menyelamat dijalankan menerusi satu hantaran di Facebook, namun hari ini memaklumkan bahawa helikopter penyelamat tidak dapat diterbangkan kerana cuaca buruk.

    Holecek mengesahkan kematian Huserka dalam satu hantaran penuh emosi di Facebook, menceritakan bagaimana Huserka terjatuh di permukaan berlereng selepas jatuh lapan meter, sebelum terus terperangkap di dasar glasier.

    Gambar Explorersweb

    Menurut Holecek, dia telah berusaha selama berjam-jam cuba menyelamatkan Huserka, namun gagal kerana pendaki Slovakia itu terperangkap dalam keadaan terbalik dan dipercayai lumpuh.

    “Saya turun untuk mencapainya dan menemaninya selama empat jam sehingga cahaya terakhirnya padam. Tiada lagi yang boleh saya lakukan,” kata Holecek.

    SHS James turut memaklumkan bahawa keadaan cuaca di Nepal akan menghalang sebarang operasi penyelamatan dalam beberapa hari mendatang.

    “Menerusi panggilan telefon dengan Marek Holecek dan kemas kini status yang diterbitkan semalam, serta cuaca di bawah Langtang Lirung, keluarga dan rakan-rakan terpaksa menerima kenyataan bahawa Ondrej tidak lagi bersama kita,” tambah persatuan itu.

    Akhbar harian Slovakia, SME, menyifatkan Huserka, 34, sebagai ‘salah seorang pendaki terbaik Slovakia’ yang mengkhususkan diri dalam pendakian batu dan ais. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda