SEOUL, Korea Selatan, 13 Feb – Mahkamah Korea Selatan dijangka menyampaikan keputusan hari ini dalam kes seorang wanita yang menjadi tumpuan skandal menggunakan pengaruh yang membawa kepada pendakwaan pertama ke atas presiden negara itu dan penyabitan pewaris empayar Samsung.
Pihak pendakwa memohon tempoh hukuman penjara selama 25 tahun untuk Choi Soon-sil yang cuba menyalahgunakan kuasa dan lapan lagi tuduhan lain.
Keputusan berkemungkinan akan memberikan bayangan tentang hukuman yang mungkin akan dihadapi oleh bekas presiden Park Guen-hye jika dia disabitkan dengan kesalahan. Park, yang didakwa dan dipenjarakan pada Mac tahun lalu, sedang dibicarakan bagi lebih 12 tuduhan. Dalam perbicaraan akhir mahkamah ke atas Choi pada Disember lalu, peguamnya Lee Kyung-jae menyifatkan tuduhan adalah direka semata-mata oleh ahli-ahli politik, kumpulan masyarakat, media dan pihak pendakwa yang bermotifkan politik yang mahu menggulingkan kerajaan Park, lapor agensi Yonhap News.
Agensi itu melaporkan, Choi amat terkejut dengan permohonan hukuman yang dibuat oleh pihak pendakwa dan dia mahu berehat dan duduk di kerusi roda di mahkamah selepas itu.
Mahkamah Daerah Tengah Seoul juga dijangka mengeluarkan keputusan hari ini berhubung bekas penolong kanan Presiden Ahn Jong-beom, yang berdepan enam tuduhan termasuklah menyalahgunakan kuasa dan Pengerusi Lotte, Shin Dong-bin yang didakwa dengan tuduhan memberi rasuah.
Choi tidak dikenali oleh orang awam Korea Selatan sehinggalah siri-siri pendedahan pada lewat 2016 yang mendedahkan bagaimana dia dikatakan menggunakan pengaruh kerajaan secara rahsia, mengurus ucapan presiden dan menggunakan pengaruh ke atas kakitangan kerajaan meskipun dia tidak memegang sebarang kedudukan rasmi dalam kerajaan. – AP