KOTA KINABALU, 7 FEB – Pendanaan kesihatan perlu diberi perhatian dalam usaha meningkatkan perkhidmatan kesihatan untuk rakyat Malaysia, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni.
Beliau berkata perkhidmatan kesihatan Malaysia juga perlu diberikan nafas baharu setelah berdepan cabaran kesihatan getir susulan COVID-19.
“Ketika berdepan dengan COVID-19 ini kita telah menggunakan sepenuhnya kemudahan kesihatan kita demi penuhi keperluan rakyat kita yang terkesan.
Kita perlu memberikan nafas baharu kepada sistem kesihatan kita bagi membolehkan sistem ini memberikan kemudahan terbaik dan bermaruah kepada rakyat,” katanya selepas melawat Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin dan Pengarah Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Dr Marcus Netto.
Sementara itu, beliau berkata kadar penggunaan katil hospital berkenaan mencapai tahap yang kritikal iaitu 110 peratus tahun lepas.
Beliau berkata hospital yang mempunyai lebih 600 katil itu memberikan perkhidmatan kepada lebih 550,000 penduduk sekitar, justeru terdapat keperluan untuk pembinaan bangunan baharu bagi memenuhi keperluan tersebut. – Bernama
