Pendapatan Alibaba melonjak

BEIJING, 15 OGOS – Syarikat gergasi e-dagang China Alibaba hari ini berkata bahawa pendapatan suku pertamanya melebihi daripada anggaran penganalisis, sekali gus berjaya mengharungi ekonomi yang perlahan dan perang perdagangan dengan Amerika Syarikat.

Pendapatan untuk tempoh April hingga Jun naik 42 peratus tahun ke tahun kepada 114.9 bilion yuan (AS$16.7 bi-lion), kata kenyataan syarikat itu, mengatasi purata anggaran penganalisis sebanyak 111.6 bilion yuan yang diramal oleh Bloomberg News.

Naib Pengerusi Eksekutif Alibaba, Joe Tsai, berkata hasil itu adalah antara kejayaan berterusan kepada trend demografi China dan pembangunan yang berterusan.

Keuntungan bersih bagi suku tahun ini adalah 21.2 bilion (AS$3.1 bilion), lebih daripada dua kali ganda dari tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Hasil dalam segmen teras e-dagang utama di Hangzhou, yang menyumbang sebahagian besar perniagaannya, melonjak 44 peratus, sementara unit pengkomputeran awan berkembang 66 peratus.

“Alibaba mencapai keuntungan besar dalam suku pertama, memperluaskan pangkalan pengguna kami kepada 674 juta pengguna aktif tahunan, menunjukkan pengalaman pengguna kami yang unggul,” kata Daniel Zhang, Ketua Pegawai Eksekutif Alibaba.

“Kami akan terus melabur dalam teknologi dan membawa transformasi digital kepada berjuta-juta perniagaan di seluruh dunia.” – AP