Pendapatan terjejas akibat COVID-19

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – Penularan gelombang kedua COVID-19 di negara ini bukan sahaja menutup sebahagian besar kedai-kedai atau premis-premis, malahan merosotnya pendapatan bagi kebanyakan orang.

Salah satu yang teruk terjejas ialah ejen jualan kereta yang menyaksikan sambutan jualan kereta dan operasi perniagaan mereka terganggu.

Menurut beberapa orang yang ditemui wartawan, pendapatan jualan kereta mereka terjejas memandangkan tiada komisen daripada jualan kereta yang juga merudum.

“Kami hanya berharap daripada jualan kereta, namun kerana penutupan bagi agensi-agensi pendaftaran jualan kereta, ia agak menyukarkan kami dan hanya bergantung kepada gaji pokok yang tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian,” tambah salah seorang yang enggan disebut namanya.

Menurutnya lagi, impak itu sudah terasa walaupun penularan di negara ini baru 10 hari, bayangkan jika ia berlanjutan sehingga berbulan-bulan lamanya.

Sehubungan itu, beliau dan rakan ejen jualan berharap pihak kerajaan, melalui Kementerian Kesihatan dapat menangani penularan secepat mungkin dan mengembalikan keadaan seperti biasa, meskipun nanti mereka terpaksa melalui norma baharu yang lebih ketat, asalkan mereka mendapat rezeki untuk menampung makan dan perbelanjaan ahli keluarga.

Selain ejen kereta, turut terkesan ialah kedai-kedai gunting yang terjejas pendapatannya akibat COVID-19, sementelah lagi mereka dinasihatkan untuk tidak beroperasi dalam keadaan situasi masih lagi teruk dengan jangkitan bertambah.

Salah seorang pekerja kedai gunting, Ahmad Bughar ketika ditemui berkata, sejak penutupan kedai gunting tempatnya bekerja, dia hanya bergantung kepada duit simpanan yang ada untuk perbelanjaan.

Menurutnya lagi, wang simpanan pun mungkin mencukupi untuk bulan ini sahaja dan selebihnya harus dihantar ke kampung halaman untuk keperluan harian keluarganya.