SYDNEY, 16 Jan – Seorang ibu mengaku bersalah, hari ini kerana membunuh tiga anaknya dan cuba membunuh seorang lagi dengan memandu kereta ke dalam sebuah tasik, di sini.
Tertuduh, Akon Guode, 37, yang tiba di Australia pada 2015 selepas melarikan diri dari perang di Sudan Selatan, didakwa memandu kereta ke dalam sebuah tasik di pinggir Melbourne.
Anak lelakinya berusia setahun dan pasangan kembar empat tahun maut. Tertuduh dan seorang lagi anak perempuannya berusia lima tahun terselamat.
Pegawai mahkamah berkata, ibu tujuh anak itu mengaku bersalah kerana cuba membunuh anak perempuannya yang terselamat.
Saksi berkata, sebelum tragedi, Guode mengadu menerima ugutan daripada isteri bapa kepada anaknya dan mengasingkan diri daripada masyarakat Sudan, lapor Australian Broadcasting Corporation (ABC).
ABC berkata, anak perempuan sulung Guode memberitahu mahkamah, dia bimbang mengenai cara pemanduan ibunya kerana sering pening kepala enam bulan sebelum tragedi. – AFP
































