Enggan kisah kecurangan David Beckham terus jadi bualan ramai, penyanyi dan usahawan Victoria Beckham dilaporkan meminta suaminya itu menghubungi bekas kekasih gelapnya secara peribadi.
Sumber terdekat pasangan itu memberitahu Victoria sebenarnya terkejut dengan pendedahan Rebecca Loos susulan penyiaran dokumentari Beckham’s di Netflix.
Katanya Victoria tidak menyangka Rebecca masih menyimpan dendam terhadap mereka sehingga mendedahkan pelbagai butiran yang tidak diketahuinya, kongsi mStar.
“Victoria tahu Rebecca seorang wanita yang berbahaya. Jadi dia bimbang apa yang akan berlaku seterusnya,” sumber itu memberitahu Geo TV.
Malah pasangan berkenaan juga telah menghubungi peguam mereka untuk berbincang mengenai perkara ini.
Victoria dan David dipercayai cuba untuk menghentikan Rebecca daripada terus membuka mulut demi menjaga reputasi keluarga mereka.
“Pada ketika ini, Victoria terdesak untuk melakukan apa sahaja bagi mengelakkan pendedahan skandal selanjutnya.
“Dia juga telah memberitahu David untuk menghubungi Rebecca secara peribadi untuk berdamai,” ujarnya. – Agensi