Pendedahan bunyi bising masih rendah – Lee

TAIPING, 22 JULAI – Peraturan pendedahan bunyi bising dalam kalangan majikan dan pekerja di beberapa sektor kritikal dalam industri perkilangan dan pembinaan di negara ini masih rendah.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata peraturan tersebut yang termaktub dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dikuatkuasakan pada 1 Jun lalu bertujuan melindungi pekerja daripada pencemaran bunyi.

“Melalui peraturan ini majikan hendaklah memastikan pekerja mereka menggunakan alat pelindung untuk mengurangkan bunyi bising di tempat kerja,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Hari Keselamatam dan Kesihatan Spritzer di Jalan Air Kuning di sini hari ini.

Lee berkata kebanyakan pekerja di sektor perkilangan, pembinaan, minyak dam gas terdedah kepada bunyi bising yang memberikan impak kepada pendengaran mereka.

Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) agar turun padang untuk bersemuka dengan majikan bagi menerangkan tujuan dan objektif peraturan bunyi diperkenalkan kerajaan. – Bernama

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara Tan Sri Lee Lam Thye (kanan) mendengar penerangan dari Pengarah Eksekutif Spritzer Bhd Dr Chuah Chaw Teo (kiri) mengenai proses air mineral selepas merasmikan Hari Keselamatan dan Kesihatan di Kilang Chuan Sin Sdn Bhd (Spritzer) di Air Kuning, kelmarin. – Bernama