Pendedahan pemerdagangan organ tidak benar

KUCHING, 26 OGOS – Kes seorang lelaki yang mengaku kononnya ter-babit dalam aktiviti pemerdagangan organ manusia untuk pasaran antarabangsa, terdapat kejutan baharu apabila Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail mengumumkan bahawa pendedahan itu adalah tidak benar.

Sebaliknya, suspek berusia 48 tahun itu yang direman sejak 14 Ogos lepas untuk siasatan berhubung dakwaan oleh akhbar tabloid British, The Sun baru-baru ini, ditahan semula hari ini berikutan remannya tamat, untuk siasatan ber-sabit satu kes pecah amanah.

“Hasil siasatan terperinci yang dijalankan selama 12 hari mendapati bahawa dakwaan bahawa lelaki ini terlibat dalam kegiatan membeli dan menjual organ manusia adalah tidak benar,” kata Aidi dalam kenyataan hari ini.

Katanya tidak ada sebarang keterangan yang ditemui menunjukkan bahawa suspek terlibat dalam kegiatan seperti yang didakwa dalam laporan berita The Sun pada 8 Ogos lepas.

“Siasatan juga mendapati bahawa suspek telah memberi dakwaan yang palsu semasa temu bual dengan wartawan The Sun. Pihak polis juga telah menghubungi wartawan The Sun dan telah mendapat kerjasama sepenuhnya daripada beliau (wartawan berkenaan),” katanya.

Berhubung penahanan semula suspek pada 11 pagi tadi, Aidi berkata ia berkaitan kes pada tahun 2013 yang ketika itu suspek bekerja di Jabatan Insolvensi Sarawak dan dia disyaki telah melakukan penipuan dengan mengeluarkan baucar pembayaran ke atas beberapa orang yang tidak ada kaitan dengan Jabatan Insolvensi Sarawak melibatkan kerugian RM249,101.25. – Bernama