Pendekatan agresif kekang penularan

KUCHING, 24 JULAI – Pendekatan lebih agresif akan diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya penularan gelombang kedua COVID-19 di Sarawak mencatatkan peningkatan yang membimbangkan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor berkata pihak polis tidak akan berkompromi dengan tindakan segelintir individu yang sengaja mengabaikan aspek keselamatan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mencegah penularan wabak berkenaan.

“Bukan sahaja kompaun, kita akan melaksanakan tangkapan sebab kita masih ada undang-undang yang membolehkan kita menangkap dan sebagainya mereka ini yang sengaja tidak mempedulikan serta mengabaikan semua aspek SOP yang telah pun digariskan,” katanya.

Tindakan sedemikian terpaksa dilakukan bagi memastikan segala usaha yang telah dilaksanakan kerajaan dalam menangani wabak COVID-19 tidak sia-sia, kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan Sijil Penghargaan Ketua Polis Negara kepada 60 pegawai dan anggota Batalion Ke-11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak di sini hari ini.

Menurut Mazlan, statistik kompaun yang dikenakan terhadap orang awam yang melanggar SOP juga menunjukkan peningkatan ekoran pemantauan agresif dan berterusan oleh pasukan petugas pemantau itu.

“(Usaha memastikan pematuhan SOP) ini merupakan satu perkara yang harus kita lipat gandakan supaya masyarakat khususnya di sini tidak ambil mudah situasi semasa penularan wabak COVID-19,” katanya.

Mengenai cadangan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuching, beliau berkata perkara itu akan diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak manakala pihak polis akan membantu memantau dan mengenakan kawalan lebih ketat berhubung perlaksanaan SOP oleh semua pihak yang terlibat. – Bernama