Wednesday, April 24, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Pendekatan bersepadu mampu tangani impak inflasi

    Oleh Salawati Haji Yahya

    Dunia kini sedang berdepan dengan pelbagai ancaman termasuklah isu kenaikan harga barangan malahan harga barang mentah turut terjejas yang memerlukan kerjasama serantau dan antarabangsa untuk menanganinya.

    Kenaikan harga tersebut bukan sahaja berpunca daripada kesan pandemik COVID malah juga berpunca daripada ketegangan geopolitik di pe- ringkat antarabangsa, selain faktor di luar kawalan seperti perubahan iklim yang menyebabkan cuaca yang tidak menentu sekali gus menjejaskan pengeluaran makanan, menurut kenyataan dari Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) yang dikeluarkan hari ini.

    Negara Brunei Darussalam seperti negara-negara lain di seluruh dunia, tidak terkecuali daripada menghadapi pelbagai cabaran akibat penularan COVID dan ketegangan politik yang tidak dijangkakan melanda dunia pada masa ini. Situasi di negara ini sebagai negara pengimport yang mengimport sekitar 70 peratus barangan terutama makanan dari negara luar dan beberapa faktor telah mendorong kenaikan harga barangan di dunia.

    Antara faktor termasuk kos pengangkutan dan logistik, di mana sejak penularan COVID kos pengangkutan global menurut Freightos Baltic Index Global Container Freight, bagi kontena 40 kaki telah meningkat dari AS$1,342 pada Julai 2019 kepada AS$9,806 pada Januari 2022.

    Ini ditambah dengan kekurangan pekerja, penutupan premis perniagaan dan kilang pembuatan telah menyebabkan pengurangan penghasilan dan penangguhan penghantaran barangan sekali gus memberi kesan kenaikan harga barang secara keseluruhan.

    Kenaikan harga barangan termasuk barang mentah menjadi isu global dan serantau pada masa ini.
    Gambar menunjukkan antara faktor kenapa berlakunya kenaikan harga barangan asasi. – Gambar serahan JPES
    Aplikasi PenggunaBijak yang boleh dimuat turun di telefon bimbit untuk melihat senarai harga barangan keperluan terpilih di negara ini. – Gambar serahan JPES

    Bukan setakat itu, kenaikan harga barang mentah seperti gandum dan jagung juga memberi impak yang timbul daripada kesan ketara ketegangan geopolitik antarabangsa.

    Minyak bunga matahari dan bijirin telah meningkat kepada 13 peratus pada bulan Mac 2022 dengan hanya 1 peratus penurunan pada April 2022.

    Sementara sekatan eksport barang mentah menyaksikan beberapa negara pengeksport terbesar barangan makanan asasi seperti gandum dan minyak masak telah mula melaksanakan strategi untuk mengutamakan permintaan domestik negara masing-masing.

    Langkah-langkah mengehadkan bekalan tersebut mempunyai kesan ke atas negara-negara yang bergantung kepada import.

    Selain itu, kos pengambilan buruh termasuk kos-kos perjalanan, kuarantin dan yuran ejen juga meningkat, sekali gus menyumbang kepada kenaikan kos pembuatan secara keseluruhan dan seterusnya memberi kesan kepada harga barangan di pasaran. Di samping itu, kekurangan bekalan buruh asing akibat sekatan perjalanan juga menyumbang kepada kenaikan kos buruh.

    Sementara itu, kos bahan mentah khususnya baja yang kian meningkat telah memberi kesan kepada harga sayur-sayuran dan harga makanan asasi seperti ayam. Manakala kos makanan ayam yang meningkat menjejaskan harga ayam dan telur di pasaran dan ditambah dengan keadaan cuaca yang tidak menentu seperti hujan berterusan atau musim kemarau telah menjejaskan jumlah penghasilan penanaman.

    Sumber rantaian bekalan seperti country of origin atau jumlah perantara dan penjual semula sebelum barangan dijual di pasaran runcit juga memainkan peranan menentukan harga barangan.

    Ke arah menangani krisis kenaikan harga, beberapa inisiatif telah dilaksanakan oleh JPES. Langkah termasuklah menjalankan aktiviti pemantauan ke atas harga barangan asasi yang dijual oleh lebih 350 buah kedai-kedai runcit di Negara Brunei Darussalam.

    Walaupun kenaikan harga barangan di negara ini didorong oleh faktor-faktor di luar kawalan yang menimpa global dan serantau, kerajaan telah menggalakkan prinsip ketelusan dalam kala- ngan peniaga-peniaga di negara ini. Isu kenaikan harga memerlukan pendekatan bersepadu, daripada pihak kerajaan dengan kolaborasi antara pelbagai kementerian dan pihak sektor industri serta orang awam dalam menangani dan mencari jalan untuk mengurangkan impak inflasi.

    Di samping itu, pengusaha perlu merangka strategi jangka panjang yang berdaya tahan seperti mempelbagaikan sumber import dan meningkatkan pe- ngeluaran produk-produk tempatan.

    Orang ramai khususnya pengguna juga memainkan peranan dengan melaporkan apa juga amalan perniagaan yang tidak wajar dan tidak beretika kepada pihak berwajib.

    Pihak kerajaan pula akan bekerjasama dengan pelbagai agensi yang berkepentingan untuk mengenal pasti apa jua dasar yang perlu dilaksanakan bagi mengurangkan beban kos kehidupan dengan kenaikan inflasi ini terutama kepada golongan yang kurang berkemampuan.

    Rakyat dan penduduk di negara ini sangat beruntung dengan subsidi minyak petrol, tenaga elektrik dan beras yang telah sekian lama dihulurkan oleh kerajaan. Ini tidak seperti negara-negara luar, peningkatan harga minyak mentah di pasaran telah mendorong peningkatan harga petrol dan seterusnya me- ningkatkan kos sara hidup.

    Sehubungan itu, rakyat dan penduduk di negara ini perlu menghargai subsidi-subsidi yang telah dihulurkan oleh kerajaan dengan menggunakannya secara berhemat dan tidak membazir.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Dua gempa berukuran 6 dan 6.3 magnitud landa timur Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Dua gempa bumi berukuran 6 dan 6.3 magnitud melanda tengah Daerah Hualien di timur Taiwan masing-masing pada 2:26 pagi dan 2:32 pagi ini,...