Pendekatan bersepadu seluruh negara tangani cabaran COVID-19

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 MEI – Tidak dapat dinafikan bahawa penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam telah memberikan kesan bukan sahaja kepada kehidupan seharian rakyat dan penduduk negara tetapi juga kepada ekonomi negara.

Namun begitu, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melaksanakan pelbagai langkah dalam menangani impak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam menerusi pendekatan bersepadu seluruh negara.

Ia memberikan penekanan kepada pendekatan bersatu-padu dalam menangani impak dan cabaran-cabaran hasil daripada menularnya COVID-19 di negara ini, di mana langkah-langkah yang diambil menumpukan kepada tiga perkara iaitu memelihara kesejahteraan awam, memelihara pekerjaan yang ada dan memberi sokongan kepada individu-individu serta mendukung dan membantu perniagaan.

Dalam memelihara kesejahteraan orang awam, tidak kurang penting untuk memastikan sistem perkhidmatan kesihatan yang mantap, teratur, efisien dan mempunyai bekalan keperluan perubatan dan keselamatan yang mencukupi.

Ke arah itu, kita menyaksikan pembinaan bangunan baharu Pusat Pengasingan Kebangsaan di Daerah Tutong bagi menempatkan pesakit-pesakit yang telah disahkan positif jangkitan COVID-19 untuk dipantau rapi, pembinaan bangunan tambahan Makmal Rujukan Virologi Kebangsaan di Kampung Sumbiling, Bandar Seri Begawan bagi menambah kapasiti dan mempercepatkan proses ujian makmal bagi COVID-19 di negara ini, serta penyediaan pusat-pusat pemantauan bagi warga asing, rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang masuk ke negara ini dari luar negara bagi menjalankan pengasingan diri.

Kemudahan dan fasiliti yang disediakan di dalam Pusat Pengasingan Kebangsaan.
Bangunan baharu Pusat Pengasingan Kebangsaan di Daerah Tutong bagi menempatkan pesakit-pesakit yang telah disahkan positif jangkitan COVID-19.

Di samping itu, pemberigaan yang efektif mengenai maklumat dan situasi terkini jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam dilaksanakan dengan mengadakan sidang media setiap hari bagi memberikan maklumat situasi terkini jangkitan, penyediaan Talian Nasihat Kesihatan 148 yang dapat dihubungi untuk mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini, penyediaan self assessment tool, healthinfo.gov.bn yang membantu individu untuk membuat penilaian jika mereka menghidap simptom COVID-19 dan usaha untuk menghasilkan masa sebenar atau real-time government dashboard serta pelancaran landasan rasmi dalam aplikasi Telegram bagi GOV.BN untuk memberigakan maklumat rasmi daripada pihak kerajaan.

Pemberian elaun khas khusus kepada pekerja barisan hadapan di mana elaun khas sebanyak $400 sebulan khusus kepada para doktor, jururawat, paramedik, pemandu, ambulan, sukarelawan, pembersih, penjaga keselamatan dan kesemua mereka yang bertugas dengan Kementerian Kesihatan khususnya di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Pusat Pengasingan Kebangsaan Tutong dan di pusat-pusat kuarantin yang dikhaskan oleh kerajaan Baginda Sultan.

Pemberian elaun khas itu bermula Mac lalu dan akan dilanjutkan sehingga berakhirnya wabak COVID-19 di negara ini. Dalam memudahkan akses ke Daerah Temburong, pihak kerajaan telah melaksanakan pembukaan sementara Jambatan Penghubung Daerah Brunei dan Muara ke Temburong bagi memudahkan akses ke Daerah Temburong di mana jambatan itu dibukakan dari pukul 6 pagi hingga 6 petang sahaja setiap hari bermula 19 Mac lalu.

Pihak kerajaan juga memperketatkan kawalan keluar negara dan kemasukan dalam negara di mana tegahan keluar negara telah dikuatkuasakan bermula 16 Mac 2020 yang telah dimuatkan dalam garis pandu permohonan kebenaran keluar negeri bagi rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam bagi menghindari penularan wabak COVID-19.

Di samping itu, menangani kesejahteraan dan keselamatan penuntut-penuntut Negara Brunei Darussalam yang menuntut di luar negara untuk pulang ke negara ini, semua permohonan mendatangkan pekerja asing ditangguhkan dan semua warganegara asing termasuk yang transit tidak dibenarkan untuk memasuki Negara Brunei Darussalam.

Pemedulian hal ehwal pengguna juga diberikan penekanan di mana pemantauan harga barangan sentiasa dibuat bagi barangan seperti beras, gula dan barangan keperluan lain seperti hand sanitizer dan penutup hidung dan mulut bagi perlindungan pengguna, memastikan kedudukan stok beras dan gula mencukupi untuk keperluan harian, mempertingkatkan perkhidmatan telekomunikasi bagi memenuhi jangkaan permintaan yang makin meningkat serta perundingan dua hala antara Jabatan Perkhidmatan Pos, Negara Brunei Darussalam dan Pos Malaysia.

Pos Malaysia telah memberikan kebenaran kepada Jabatan Perkhidmatan Pos selaku wakil bagi pengambilan barang di Pos Miri dan Pos Limbang bagi penerima-penerima yang berada di Negara Brunei Darussalam.

Bagi memudahkan proses penghantaran dan penerimaan barang yang dibeli secara atas talian dari luar negara, orang ramai disarankan untuk menggunakan alamat di Negara Brunei Darussalam.

Dalam menangani COVID-19, ia memerlukan seluruh rakyat dan penduduk negara bersatu hati dalam menghulurkan bantuan yang merangkumi penubuhan COVID-19 Relief Fund bagi membolehkan orang ramai untuk membuat sumbangan dalam menangani penularan COVID-19.

Selain itu, Jawatankuasa Ad-Hoc Sukarelawan Belia ditubuhkan bagi mengumpulkan para sukarelawan yang berhasrat untuk membantu usaha menangani wabak ini di samping menyelaras pembahagian sukarelawan bagi membantu Kementerian Kesihatan serta penyerahan Bantuan Kewangan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) melalui Kumpulan Wang Pentadbiran Am kepada peniaga dan pengusaha kecil yang terjejas pendapatan akibat penularan wabak COVID-19.

Manakala itu, langkah-langkah yang diambil dalam meneruskan pembelajaran termasuk melanjutkan pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian (online), cuti khas persekolahan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri dan sesi persekolahan penggal kedua seterusnya.

Selain itu, platform pelajaran atas talian (online) kepada pelajar-pelajar dan guru dengan penyediaan bandwith dan data bagi meneruskan pembelajaran, bagi menyokong pembelajaran secara dalam talian, orang ramai dialu-alukan untuk menderma komputer, komputer riba dan tablet (baharu atau terpakai) serta Program Rancangan Pembelajaran di Rumah bagi Para Pelajar Tahun 6 melalui RTB Aneka pada setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu bermula pukul 8:30 pagi.

Sementara itu, menerusi inisiatif keagamaan dan kerohanian telah menyaksikan pengagihan buku zikir dan doa COVID-19 di mana sebanyak 15,000 naskhah buku zikir dan doa diagihkan kepada sektor kerajaan dan sektor swasta di negara ini. Orang ramai juga boleh mendapatkan buku berkenaan dalam bentuk format PDF dengan mengimbas kod QR dengan melayari laman sesawang www.kheu.gov.bn.

Di samping itu, pihak kerajaan juga mempelbagaikan tatacara pemberian perkhidmatan seperti pandu lalu bagi pembayaran pencen perkhidmatan dan pencen turunan secara tunai bagi mengurangkan risiko terkena jangkitan COVID-19 dan mengelakkan kesesakan dan perhimpunan beramai-ramai.

Pembayaran pencen umur tua dilaksanakan melalui dua tatacara iaitu melalui bank sebagai pilihan tambahan di samping kaedah pembayaran yang dilaksanakan pada masa ini melalui penghulu dan ketua kampung bagi mengurangkan risiko terkena jangkitan COVID-19 dan menggelakkan kesesakan dan perhimpunan beramai-ramai serta beberapa agensi kerajaan turut mula memberikan perkhidmatan secara atas talian untuk memudahkan orang awam berurusan.

Langkah-langkah lain yang diambil dalam memelihara kesejahteraan orang awam adalah pelaksanaan inisiatif penjarakan sosial iaitu penutupan sementara masjid, surau dan balai ibadah seluruh Negara Brunei Darussalam, semua acara keramaian atau perkumpulan termasuk majlis perkahwinan dan acara kesukanan adalah tidak dibenarkan buat sementara waktu.

Beberapa buah tamu di Daerah Temburong, Tutong dan Belait juga ditutup sementara, gerai Ramadan di bawah kawalan jabatan-jabatan bandaran, jabatan-jabatan daerah dan Jabatan Belia dan Sukan ditiadakan, premis-premis makanan termasuk restoran, kedai makan, kedai minum, kafe, medan selera, gerai makan dan seumpamanya tidak dibenarkan untuk menyajikan makanan di premis-premis dan hanya dibenarkan untuk menyediakan makanan untuk dibawa pulang sahaja, penutupan pawagam, penutupan kesemua kompleks dan fasiliti sukan yang tertutup di seluruh negara termasuk gim, boling dan padang golf serta penutupan muzium-muzium dan galeri, pusat-pusat belia dan setiap cawangan perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Langkah-langkah kerajaan untuk memelihara pekerjaan yang ada dan memberikan sokongan kepada individu-individu termasuk, bermula 1 April 2020, kerajaan akan membiayai caruman SCP kepada golongan yang bekerja sendiri selama enam bulan, menyediakan latihan atas talian secara percuma melalui platform Cousera yang menyediakan lebih daripada 300 kursus yang berkaitan dengan hal ehwal perniagaan, pembelajaran sepanjang hayat di mana syarikat-syarikat dipelawa untuk mengambil peluang meningkatkan kemahiran termasuk upskilling dan reskilling pekerja yang terdiri daripada anak-anak tempatan dengan mengikuti latihan-latihan anjuran MPEC.

Selain itu, pelanjutan tempoh kontrak perantis i-Ready bagi tempoh sehingga enam bulan khususnya bagi peserta yang mana kontraknya akan tamat sebelum bulan September 2020 di sektor awam dan swasta, melaratkan Program Perantisan I-Ready ke Peringkat Diploma Level 5 (HND atau Advanced Diploma) dan Technical and Vocational Education Training (TVET), penaiktarafan portal Job Centre Brunei (JCB)- Job Matching dan menerima status permohonan secara masa sebenar.

Langkah lain adalah menyediakan laporan mengenai keserasian pencari kerja tempatan berasaskan kriteria-kriteria jawatan dan syarikat mendapatkan talent profile yang lebih komprehensif serta pihak JCB akan membantu syarikat-syarikat dalam memudah cara pengisian mana-mana keperluan tenaga manusia dengan menyediakan perkhidmatan seperti penghantaran SMS kepada pencari-pencari kerja tempatan, menyediakan talent pool untuk kegunaan syarikat-syarikat serta mengadakan platform temu duga secara maya.

Manakala itu, langkah-langkah kerajaan dalam mendukung dan membantu sektor perniagaan ialah, bermula berkuat kuasa pada 1 April 2020, penangguhan pembayaran (atau deferment) ke atas caruman TAP (5%) dan SCP (3.5%) bagi pekerja-pekerja tempatan yang berpendapatan $1,500 sebulan dan kebawah di semua sektor di dalam kategori perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) iaitu dengan jumlah pekerja kurang daripada 100 orang selama enam bulan serta memberikan subsidi pembayaran gaji sebanyak 25 peratus kepada pekerja tempatan di PMKS yang mempunyai pekerja seramai 100 orang dan kebawah selama tiga bulan.

Sementara itu, bagi membantu meringankan beban kewangan kepada syarikat-syarikat perniagaan dan individu-individu yang terkesan, bermula 1 April 2020, jumlah pembayaran pokok pinjaman/pembiayaan kepada syarikat-syarikat perniagaan yang terkesan di semua sektor, semua bayaran dan caj bank, kecuali caj pihak ketiga, yang berkaitan dengan transaksi perdagangan dan pembayaran bagi syarikat-syarikat dalam sektor pelancongan, hospitaliti, restoran/ kafe, pengangkutan udara, dan pengimportan makanan dan perubatan, tidak akan ditangguhkan sehingga 30 September 2020,

Turut ditangguhkan adalah jumlah pembayaran pokok ke atas pinjaman/pembiayaan peribadi dan kemudahan pinjaman/pembiayaan kenderaan, atau menstruktur semula pinjaman/pembiayaan tersebut dengan tempoh tidak melebihi 10 tahun serta pembayaran pokok pinjaman/pembiayaan yang berkaitan dengan hartanah, sama ada untuk memiliki atau untuk pelaburan, menstruktur semula baki tertunggak (outstanding balances) kad kredit kepada pinjaman (loan) untuk tempoh tidak melebihi tiga tahun bagi individu-individu yang terkesan di sektor swasta sahaja termasuk mereka yang bekerja sendiri.

Walau bagaimanapun, langkah ini tidak akan menaikkan jumlah had kad kredit selama tempoh tiga tahun berkenaan, semua caj dan yuran pembayaran bank bagi kemudahan penangguhan dan penstrukturan semula (termasuk penstrukturan semula baki tertunggak kad kredit), kecuali caj pihak ketiga, tidak akan dikenakan sehingga 31 Disember 2020, tarikh permohonan penangguhan dan penstrukturan semula adalah sehingga 31 Disember 2020 serta semua caj dan bayaran bank bagi kemudahan pemindahan wang dalam negara, kecuali caj pihak ketiga, tidak akan dikenakan sehingga 30 September 2020.

Langkah lain bagi mendukung dan membantu sektor perniagaan ialah, berkuat kuasa pada 1 April 2020 dan akan berjalan selama enam bulan, memberikan diskaun 30 peratus ke atas kadar sewa bangunan kerajaan kepada PMKS mengikut sektor, memberikan diskaun cukai sebanyak 50 peratus ke atas cukai pendapatan korporat bagi tahun taksiran 2021 kepada sektor sasaran, memberikan diskaun 15 peratus untuk bil-bil air dan elektrik ke atas sektor sasaran serta pengecualian sementara duti kastam dan duti eksais untuk membantu para peniaga dan pembeli dengan meningkatnya permintaan yang berkaitan dengan produk kesihatan khususnya dalam menangani COVID-19.

Selain daripada itu, bagi mendukung dan membantu sektor perniagaan, pihak kerajaan Negeri Sarawak telah memberikan kerjasama dengan membenarkan mana-mana syarikat di negara ini dan luar negara yang keluar masuk dari negara ini melalui checkpoint darat bagi tujuan perdagangan atau penghantaran barang. Begitu juga dengan syarikat-syarikat dari Sarawak yang membuat penghantaran melalui jalan Brunei juga diberikan kebenaran.

Pihak kerajaan juga menyediakan Co-Matching Grant bagi perniagaan perkhidmatan e-dagang dan perkhidmatan logistik, memberikan diskaun 50 peratus diskaun bagi penjualan beras pulut yang ada di Kompleks Stor dan Perbekalan Negara kepada PMKS serta pengusaha-pengusaha persendirian selama sebulan bermula 8 April 2020 bagi membantu kelangsungan perniagaan para pengusaha yang berkecimpung dalam penyediaan dan penjualan kuih-muih yang menggunakan beras pulut sebagai bahan asas seperti kelupis, wajid, seri muka dan lain-lain.

Di samping itu, bermula Mac 2020, sewa bangku bagi tamu, pasar dan gerai yang disediakan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri juga ditiadakan bagi tempoh enam bulan serta pelaksanaan platform ‘e-kadai’ yang bertujuan untuk memberikan alternatif kepada para peniaga untuk memasarkan barangan mereka secara dalam talian (online).

Community for Brunei pula menyediakan platform yang akan dapat mengumpulkan dan menyatukan komuniti Brunei bagi membantu PMKS untuk menjual barangan mereka dalam pasaran maya dan bagi orang awam untuk membeli secara maya dan membuat pembayaran secara digital dengan menggunakan kad-kad debit atau kredit.

Community for Brunei telah melancarkan dua projek iaitu Community for COVID untuk memberikan sumbangan keperluan yang telah dikenal pasti kepada petugas barisan hadapan dan Community for Ramadan bagi memudahkan orang ramai membeli juadah makan minum untuk berbuka puasa secara online dan dihantar ke rumah atau tempat masing-masing.

Sementara itu, kempen Beli Hasil Tempatan memastikan pendapatan para peniaga tamu dan petani-petani tempatan sentiasa terjamin dan tidak terjejas dengan penutupan sementara beberapa buah tamu.

Inisiatif itu juga akan dapat memastikan kestabilan harga produk-produk pertanian se-perti sayuran dan buah-buahan serta untuk menggalakkan penanaman produk pertanian secara berterusan.