KUALA LUMPUR, 12 JUN – Kerajaan harus mengambil pendekatan holistik dalam melaksanakan pembaharuan struktur termasuk kemungkinan pelaksanaan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang akan meningkatkan daya tahan ekonomi negara serta ringgit dalam jangka panjang, menurut pakar ekonomi.
Laluan ke arah peningkatan ekonomi perlu berdasarkan pandangan dan penyelesaian jangka panjang dan bukannya jangka pendek, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.
Mohd Afzanizam berkata, ringgit dilihat semakin lemah dari semasa ke semasa berbanding mata wang utama seperti dolar AS dan dolar Singapura, apa yang pasaran mata wang mungkin cuba beritahu adalah tahap daya saing Malaysia mungkin mempunyai beberapa isu.
Beliau juga berkata, pergantungan Malaysia kepada barangan makanan yang diimport serta kepada tenaga buruh asing telah memburukkan lagi masalah itu kerana Malaysia telah menjual lebih banyak ringgit bagi memperoleh komoditi tersebut.
Sementara itu, mengenai cukai penggunaan, Profesor Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Dr Geoffrey Williams berkata pelaksanaan semula GST adalah idea yang baik tetapi ia tidak harus dilaksanakan serta-merta. – Bernama