Pendekatan menyeluruh perlu

Saya sedang berjalan-jalan di sekitar Gadong beberapa minggu lalu (pada masa surat ini ditulis) dan terjumpa sebatang paip pecah di tepi jalan.

Kebocoran adalah teruk dan kotoran mungkin telah memasuki sistem air menyebabkan air daripada paip di kawasan tersebut bertukar menjadi keperang-perangan.

Disebabkan telefon saya tidak mempunyai kredit, saya menghampiri seorang pengawal keselamatan berdekatan dan mengutarakan isu itu.

Beliau menghubungi talian 123 Darussalam dan beberapa hari kemudian paip tersebut dibaiki dan air tidak lagi berwarna keperang-perangan. Daripada kisah inilah saya ingin menekankan kepentingan pendekatan seluruh negara.

Penglibatan sektor awam dan swasta serta rakyat harus diberikan penekanan sebagai ejen perubahan positif.

Sama seperti pengawal keselamatan (sektor swasta), talian 123 Darussalam (sektor awam), dan diri saya (seorang rakyat biasa) terlibat dalam menyelesaikan isu paip pecah, setiap seorang dengan cara kita tersendiri, kita harus bersatu untuk menyelesaikan isu lain.

Kita tidak harus memandang remeh perubahan kecil yang mampu kita lakukan sebagai individu. Bak kata pepatah bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. – Abdul Malik Omar