Pendekatan positif KHEDN

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Hari Terbuka Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) yang dilaksanakan oleh kementerian berkenaan merupakan satu pendekatan yang positif dan proaktif kepada masyarakat yang mana ia merupakan satu pencapaian cemerlang kementerian dalam memberi peluang kepada orang ramai berkunjung untuk melihat lebih dekat serta mengetahui fungsi dan peranan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya.

“Di samping itu, pelancaran laman sesawang 1 Kampung 1 Produk (1K1P) memberikan kemudahan yang lebih meluas kepada majlis perundingan kampung dan majlis perundingan mukim dan juga pelancaran logo, INSAF serta pelancaran pembayaran kad debit atau kredit bagi permohonan dokumen perjalanan, juga sangat membantu dan memudahkan orang ramai.”

Perkara itu dinyatakan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman@Othman dalam ucap balas semasa Sesi Muzakarah KHEDN bersama ahli-ahli MMN yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Aras 4, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, kelmarin.

Sesi muzakarah berkenaan dipengerusikan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong. Manakala itu, rombongan ahli-ahli MMN telah diketuai oleh Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed.

Turut hadir pada sesi muzakarah itu ialah Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah) di KHEDN, Awang Salminan bin Haji Burut; Pemangku Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-Undang) di KHEDN, Awang Ajman bin Haji Meludin; Timbalan Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah) di KHEDN, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan KHEDN.

Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed menambah bahawa sesi muzakarah berkenaan memberikan peluang kepada ahli-ahli MMN untuk mengetengahkan isu-isu yang berbangkit untuk dibincangkan, dikongsi dan untuk mencari penyelesaiannya.

Beliau seterusnya menyatakan harapan supaya ahli-ahli MMN akan memanfaatkan peluang yang diberikan semasa sesi muzakarah berkenaan dengan sebaik-baiknya dan berharap perkara-perkara yang dibangkitkan serta penerangan yang diberikan akan memberikan kebaikan kepada semua pihak.

Sesi muzakarah itu merupakan cermin persefahaman, kemuafakatan dan hubungan kerjasama yang baik antara pihak kerajaan dengan rakyat dan penduduk di negara ini khususnya bagi KHEDN dan ahli-ahli MMN yang sentiasa terjalin erat dan mesra.

Perbincangan yang diadakan dalam suasana silaturahim, muhibah dan secara terbuka itu adalah bagi berkongsi idea, maklumat, isu, pandangan dan cadangan yang boleh diangkat ke Dewan MMN nanti yang boleh dijadikan wacana permuzakarahan yang bermanfaat untuk kemajuan dan keamanan negara serta kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan penduduk negara ini.

Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed menyampaikan ucap balas semasa Sesi Muzakarah KHEDN bersama ahli-ahli MMN di Bilik Mesyuarat Aras 4, Jabatan Daerah Brunei dan Muara.