Sunday, January 26, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pendengaran City berhubung 115 tuduhan selesai

    LONDON, 10 DIS – Pendengaran lama dinanti-nantikan mengenai 115 pelanggaran peraturan Liga Perdana Inggeris oleh Manchester City telah selesai, menurut laporan kelmarin. Namun, keputusan dijangka hanya akan diumumkan pada 2025. 

    Menurut laporan Daily Mail, hujah penutup kes itu, yang bermula pada 16 September di Pusat Penyelesaian Pertikaian Antarabangsa London, disampaikan kepada panel bebas pada Jumaat lalu. 

    Manchester City menafikan sebarang salah laku tetapi berdepan kemungkinan hukuman berat jika didapati bersalah, termasuk kemungkinan disingkirkan dari Liga Perdana Inggeris. 

    Musim lalu, Everton dan Nottingham Forest dikenakan pemotongan mata kerana melanggar peraturan keuntungan dan kemampanan liga. 

    Juara Inggeris itu dituduh melakukan 80 pelanggaran peraturan kewangan antara 2009 hingga 2018, dan tambahan 35 pelanggaran kerana gagal bekerjasama dalam siasatan Liga Perdana Inggeris. 

    Sejak pengambilalihan oleh Sheikh Mansour pada 2008, yang merupakan ahli keluarga diraja Emiriah Arab Bersatu, Manchester City telah berubah menjadi kuasa dominan dalam bola sepak Inggeris.

    Manchester City telah memenangi lapan daripada 13 gelaran Liga Perdana Inggeris terakhir, termasuk rekod empat kejuaraan liga berturut-turut dalam empat musim terakhir. 

    City juga merangkul gelaran Liga Juara-juara buat kali pertama pada tahun 2023. 

    Namun, pencapaian tersebut tercemar dengan kontroversi, apabila peminat pasukan lawan kerap merujuk kepada pertuduhan yang dihadapi oleh kelab itu. 

    Walaupun begitu, City sentiasa menyatakan mereka tidak bersalah dan berjanji untuk membersihkan nama mereka. – AFP

    Ketua jurulatih Manchester City, Pep Guardiola, mengambil tempat di bangku simpanan sebelum perlawanan fasa pembukaan Liga Juara-juara antara Manchester City dan Feyenoord di Stadium Etihad, Manchester, England, pada 26 November. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda