Penderaan seksual kanak-kanak, bekas pengetua dibicarakan

MELBOURNE, 23 SEPT – Sebuah mahkamah Australia hari ini mengarahkan bekas pengetua dibicarakan atas beberapa dakwaan penderaan seksual kanak-kanak di sebuah sekolah ortodoks Yahudi, tempatnya pernah bekerja.

Malka Leifer, warga dwi kerakyatan Israel-Australia diekstradisi ke Australia dalam Januari, menafikan sejumlah pertuduhan termasuk merogol, cabul dan penderaan seksual kanak-kanak.

Jenayah tersebut didakwa dilaku-kannya antara 2004 dan 2008 ketika dia bertugas sebagai guru pengajian agama dan pengetua di Adass Israel School di Melbourne.

“Malka Leifer hari ini akan dihadapkan ke Mahkamah Wilayah,” kata jurucakap wanita mahkamah selepas majistret Melbourne memutuskan terdapat bukti mencukupi untuk membicarakannya, dijadualkan bermula pada 21 Oktober kelak.

“Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah,” tambahnya.

Leifer pada asalnya berdepan 74 dakwaan dalam satu perbicaraan yang diadakan secara maya melalui sidang video, namun empat daripadanya digugurkan hari ini kerana didakwa berlaku di Israel, penyiar kebangsaan Australia, ABC melaporkan.

Mangsa-mangsanya merupakan tiga orang adik beradik perempuan – Nicole Meyer, Dassi Erlich dan Elly Sapper – yang mengenalkan diri mereka di khalayak ramai dalam usaha mendesak perbicaraan ke atas Leifer. – AFP