Penderma darah diperlukan!

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Kementerian Kesihatan sekali lagi memaklumkan orang ramai bahawa stok bekalan darah di Pusat Pendermaan Darah masih di tahap yang rendah dan memerlukan semua jenis darah dengan segera.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya hari ini menjelaskan tempahan perjanjian untuk pendermaan darah masih berku-rangan dan belum ada sambutan anjuran-anjuran kempen derma darah diadakan, bekalan darah di negara ini terjejas ketara.

Setakat pagi ini, tempahan perjanjian untuk pendermaan darah kurang 10 peratus daripada kapasiti maksimum seharian.

Oleh yang demikian, Kementerian Kesihatan menyeru orang ramai untuk sama-sama membantu usaha Pusat Pendermaan Darah dalam me-ningkatkan bekalan stok di negara ini bagi kegunaan pesakit-pesakit di kesemua hospital kerajaan, termasuk Pusat Pengasingan Kebangsaan, yang memerlukan pemindahan darah dan produk-produk darah.

Orang ramai yang ingin menderma darah boleh datang secara walk-in ke Pusat Promosi Kesihatan bermula hari ini hingga 18 November dari pukul 8 pagi hingga 11 pagi dan 12:30 tengah hari hingga 1:30 petang.

Pusat Pendermaan Darah Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha juga dibukakan kepada orang ramai bermula 8 pagi hingga 1:30 petang.

Penderma darah juga boleh mengunjungi Tabung Darah Hospital Suri Seri Begawan, Belait pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu dari 8 pagi hingga 2:30 petang dan Tabung Darah Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam, Temburong yang dibuka dari 9 pagi hingga 11:30 pagi dan 1:30 petang hingga 3:30 petang.

Untuk maklumat lebih lanjut, orang ramai boleh hubungi Pusat Pendermaan Darah di talian atau WhatsApp 7375745 atau e-mel ke bloodbank@moh.gov.bn dan ikuti Pusat Pendermaan Darah di Instagram dan Facebook @bloodbank.ripas.