Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Sept – Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA) hari ini telah mengadakan majlis penyampaian sijil kepada penderma sepanjang tahun 2016 yang telah berlangsung di Ibu Pejabat KACA, Kiulap.
Hadir bagi menyempurnakan penyampaian sijil kepada 33 orang penderma ialah tetamu kehormat majlis, Presiden KACA, Dato Paduka Haji Zainal bin Haji Momin.
Pengarah Urusan KACA, Haji Awang Abdul Halim bin Haji Awang Othman dalam ucapannya menyatakan majlis ini bertujuan untuk memberikan penghargaan dan menunjukkan rasa terima kasih kepada para penderma yang telah memberikan sumbangan ke tabung KACA sepanjang tahun dalam pelbagai aktiviti yang telah dianjurkan oleh KACA.
Juga menerima sijil penghargaan di majlis itu ialah Pengarah Urusan PAR Group of Companies, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Abdul Mun’im bin Pengiran Anak Haji Tahiruddin.

