Saturday, November 2, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pendidik disaran lebih kreatif dan inovatif

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JUN – Para pendidik disarankan untuk melengkapkan diri mereka supaya sentiasa kekal dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran pedagogi semasa mereka.

    Oleh itu, mereka perlu sentiasa menekankan aspek pembelajaran sepanjang hayat dalam diri mereka, tekan Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman dalam ucapannya pada Majlis Pembukaan Program Induksi Tenaga Pengajar Baharu yang berlangsung di Dewan An-Najah, Institut Perkhidmatan Awam, hari ini.

    Beliau menyatakan bahawa peranan para pendidik bukan sahaja sebagai penyampai ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada pelajar, malahan bertanggungjawab menyuburkan minat, memperkembangkan bakat dan kebolehan pelajar-pelajar.

    “Para pendidik juga merupakan sumber untuk membina daya pemikiran yang analitikal, kritikal dan kreatif bagi membentuk individu-individu yang boleh menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku di sekeliling mereka,” tekannya.

    Pada masa yang sama, Awang Aliuddin menyeru para pendidik untuk memanfaatkan teknologi dalam dunia pendidikan dengan lebih kreatif dan inovatif bagi memastikan proses pembelajaran lebih efektif memandangkan para pendidik akan berdepan dengan para pelajar atau generasi yang celik teknologi maklumat di mana mereka itu adalah lebih interaktif, kompetitif, multi-tasking dan kurang fokus.

    Awang Aliuddin menyampaikan ucapannya pada Majlis Pembukaan Program Induksi Tenaga Pengajar Baharu bagi 2022 yang berlangsung di Dewan An-Najah, Institut Perkhidmatan Awam.

    “Secara ringkas, tugas tenaga pengajar masa ini adalah resource provider, facilitator, enablers, prompter, provoke, guider yang lebih menekankan kepada kaedah pengajaran berpusatkan pelajar atau yang sekarang dinamakan sebagai student led-learning yang menjurus kepada independent learner,” jelasnya.

    Kaedah seperti penggunaan pembelajaran yang disesuaikan, berasaskan projek, penyelidikan, kerja berkumpulan atau projek, ulas beliau, perlu ditekankan dalam kaedah pengajaran.

    Kaedah-kaedah berkenaan secara tidak langsung akan dapat mendedahkan para pelajar kepada enam kemahiran abad ke-21 (6Cs Competencies) bagi mempersiapkan para pelajar untuk menghadapi persekitaran sosioekonomi yang lebih dinamik dan serba mencabar.

    Penularan pandemik COVID sepatutnya dijadikan sebagai pemangkin bagi perkara yang ditekankan oleh Awang Aliuddin tetapi perlu diingat, teknologi tidak akan sepenuhnya dapat menggantikan peranan seorang pendidik kerana secanggih apa pun teknologi yang ada, para pendidik tetap menjadi sumber inspirasi dan motivasi bagi pelajar-pelajar berkenaan.

    Awang Aliuddin seterusnya berkata bahawa kepantasan teknologi telah membawa pelbagai kesan kepada pendidikan terutama para pelajar zaman ini.

    Oleh itu, penghayatan nilai-nilai murni, rohani dan penekanan kepada penghayatan Melayu Islam Beraja (MIB) adalah salah satu tonggak utama dalam pendidikan di Negara Brunei Darussalam.

    “Pembentukan insan yang beriman dan bersahsiah mulia seharusnya tidak disisihkan,” tekan beliau lagi.

    Beliau percaya bahawa kejayaan bagi seorang pelajar tidak hanya boleh diukur melalui kejayaan dalam bidang akademik semata-mata, sebaliknya ia perlu juga dilihat dari sudut sahsiah dan keperibadian mulia secara holistik supaya para pelajar mendapat kejayaan yang seimbang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda