Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JUN – Seramai 53 orang pegawai pendidikan dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan jurulatih dari pelbagai industri mengikuti dua program latihan yang dikendalikan oleh Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH dengan kolaborasi Labtech International Ltd sebagai fasilitator rasmi.
Perasmian program Latihan bagi Pelatih Tentang Teknologi Automatif Menggunakan Virtual TVET (13 dan 14 Jun) dan Latihan bagi Pelatih Tentang Penyaman Udara dan Teknologi Penyejukan Menggunakan Virtual TVET (15 dan 16 Jun) telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Chin Wei Keh selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di SEAMEO VOCTECH, hari ini.
Timbalan Pengarah SEAMEO VOCTECH, Pengiran Haji Mohamad Sufri bin Pengiran Ali dalam ucapannya berkata, selaras dengan perjanjian memorandum yang dimeterai pada 8 September 2021 dengan Labtech International Ltd, latihan-latihan itu menggambarkan tema dan pelan pembangunan lima tahun pusat untuk mempersiapkan TVET bagi Revolusi Industri (IR) 4.0.
Menurutnya, latihan tersebut akan mendorong para pengajar untuk menggunakan pendekatan yang inovatif dalam penyampaian pelajaran mereka, mengetahui tentang pelbagai alat-alat digital yang sedia ada dan menggunakan teknologi-teknologi digital bagi meningkatkan pengalaman dan usaha pembelajaran pelatih.
Dr Chin Wei Keh ketika berucap turut menyuarakan sokongan terhadap inisiatif Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH dalam pendigitalan TVET dan mengintegrasikan implementasi teknologi-teknologi AR dan VR.
Beliau berharap institusi dan industri IBTE yang berkaitan akan menggunakan sepenuhnya pengetahuan dan kemahiran itu di tempat kerja mereka.
