Pendidikan Berkualiti Teras Kecemerlangan Pelajar

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Negara Brunei Darussalam akan menyambut Sambutan Hari Guru tahun ini untuk kali yang ke-31 dengan membawa tema ‘Pendidikan Berkualiti Teras Kecemerlangan Pelajar’.

Tema yang bertepatan dalam usaha menjadikan ilmu dan pendidikan berkualiti bagi semua sebagai teras untuk membentuk generasi berpengetahuan dan berkemahiran yang akan menyumbang kepada pembangunan negara ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman dan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Hjai Awang Othman telah menyampaikan perutusan sempena Hari Guru ke-31 bagi tahun 2021.

Tema tersebut menjunjung tinggi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, semasa Majlis Sambutan Hari Guru ke-26 Negara Brunei Darussalam Tahun 1437 Hijrah bersamaan 2016 Masihi, di mana Baginda bertitah “Teras kepada pelan pembangunan negara adalah pendidikan”.

Pelbagai usaha dan inisiatif telah dan sedang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bersama dengan pihak-pihak berkepentingan bagi menjurus kepada penghasilan sistem pendidikan yang berkualiti tinggi merangkumi kualiti guru, pelajar mahupun sekolah, memberikan peluang pendidikan yang luas dan pembangunan sumber tenaga manusia yang cemerlang.

Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin menyampaikan perutusan sempena Hari Guru ke-31, kelmarin.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah merakamkan ucapan penghargaan sempena Sambutan Hari Guru ke-31.

Dalam hubungan itu juga, Kementerian Pendidikan dan KHEU akan terus komited dalam usahanya meningkatkan lagi kesiapsiagaan guru-guru berinovasi dan mempunyai kompetensi dalam pengajaran seiring dengan kemajuan teknologi, seperti penubuhan Pusat Teknologi Pendidikan dan Pusat Keusahawanan Inovasi di bawah Kementerian Pendidikan untuk mendukung penyampaian pendidikan berasaskan teknologi, inovasi dan keusahawanan.

Menurut kenyataan di sini, hari ini, tahun ini adalah kali kedua Sambutan Hari Guru diraikan dalam keadaan negara dilanda pandemik COVID-19, yang mana beberapa gangguan pembelajaran berlaku, proses pengajaran terjejas, namun telah membuktikan kepentingan untuk meningkatkan penggunaan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Sehubungan itu, kaedah blended learning iaitu gabungan sistem bersemuka dan teknologi dalam pendidikan adalah satu langkah transformasi yang telah diambil untuk memastikan pelajar masih dapat menerima pendidikan sepanjang masa. Walaupun para guru berhadapan dengan pelbagai cabaran yang besar namun dengan berbekalkan kecekalan serta kegigihan dan dedikasi para guru, gangguan itu telah ditangani dengan berkesan.

Pengajaran dan pembelajaran dari rumah telah dapat dilaksanakan melalui pelbagai kaedah yang merangkumi pembelajaran dalam talian seperti Home-Packed Learning bagi yang tidak mempunyai akses internet dan peranti dan melalui TV Pendidikan yang disiarkan di dalam kaca TV oleh pihak RTB yang dapat dimanfaatkan oleh pelajar dan guru. Sememangnya, guru-guru akan terus berhadapan dengan pelbagai cabaran ekoran krisis dan global yang tidak dijangka dan ini akan ini menjadikan tugasan para guru semakin berat seperti berhadapan dengan cara pemikiran dan ekspektasi generasi kini yang jauh berbeza, keperluan guru untuk meningkatkan kreativiti, inovasi dan kompetensi mereka dalam pengajaran dan pembelajaran di abad ke-21 adalah menjadi keutamaan.

Ke arah itu, program-program pembangunan kapasiti profesional dan pengukuhan kualiti pengajaran guru akan terus dilaksanakan melalui Brunei Darussalam Leadership and Teacher Academy (BDLTA) dan Brunei Teachers’ Standards (BTS). Melalui Program Immersi dan Perantis pula, proses pemilihan guru berasaskan kecekapan serta penilaian berpiawaian secara berterusan terhadap kompetensi bakal guru adalah juga sedang dilaksanakan.

Kementerian Pendidikan turut peka dan prihatin terhadap kesejahteraan para guru yang telah banyak berkorban masa dan tenaga. Sehubungan itu, Unit Kesejahteraan Pemimpin Sekolah dan Tenaga Pengajar (UKPSTP) telah ditubuhkan dibawah kawalan Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan bagi membantu pemimpin sekolah dan guru-guru menangani isu kesejahteraan mental mereka demi membantu mereka berdaya tahan dan seterusnya meningkatkan prestasi dan produktiviti masing-masing.

Kementerian Pendidikan dan KHEU merakamkan ucapan penghargaan atas penglibatan berterusan pihak berkepentingan, pertubuhan bukan kerajaan, ibu-bapa, penjaga dan masyarakat dalam sama-sama menangani isu-isu sosio-ekonomi demi kesejahteraan para pelajar dan penyampaian pendidikan dapat diteruskan dengan lancar sepertimana yang dapat dilihat semasa mengharungi pandemik COVID-19 ini serta mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga guru yang tidak pernah kenal erti penat lelah demi mendidik anak bangsa dengan doa semoga para guru sekalian dan semua usaha sentiasa diberkati Allah SWT, diberikan kesihatan yang baik dan dalam perlindungan-Nya.