Pendidikan cemerlang ke arah generasi gemilang

Oleh Salawati Haji Yahya

Dalam masa lebih tiga dekad bumi Negara Brunei Darussalam mencapai kemerdekaan, negara kita telah banyak mencapai kemajuan dalam pelbagai sektor dan bidang tertentu, sama ada dalam sektor infrastruktur, kesihatan, pembangunan dan lainnya.

Pencapaian ini setentunya memberikan semangat untuk kita sama-sama berganding bahu dengan lebih tekun lagi menjadikan Negara Brunei Darussalam bukan saja sebagai sebuah negara yang disegani dalam bidang tertentu, malah menjadikan sebuah negara ‘Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur’ ditambah lagi dengan konsep Melayu Islam Beraja.

Melihat kepada pencapaian yang telah dicapai ini, setentunya bidang pendidikan terus melangkah dan berkembang dengan lebih jauh dengan melengkapkan rakyat berpendidikan ke arah mencapai Wawasan 2035.

Ke arah generasi berpendidikan dan berkemahiran tinggi

Pendidikan yang berkualiti adalah untuk membangunkan dan melengkapkan anak-anak dari segi moral, intelek, fizikal, sosial dan estetika dengan nilai-nilai yang betul.

Di samping mempunyai kemahiran yang sesuai untuk menjadi warganegara dinamik yang bertanggungjawab dan mampu menyumbang secara positif kepada negara.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat melawat Pusat Penyelidikan Botani UBD. – Gambar dari Infofoto

Wawasan 2035 memberikan penekanan yang tinggi kepada transformasi negara yang mempunyai rakyat dan penduduk yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi.

Ke arah melahirkan generasi gemilang ini, bidang agama juga perlu ada dalam diri setiap generasi di institusi pengajian tinggi di negara ini.

Hal ini adalah bertepatan sebagai matlamat untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir, dengan kata lain untuk mewujudkan sebuah negara ‘Baldatun Thayyibatun Warabbun Ghafur’ dan berpaksikan kepada ajaran agama Islam yang suci.

Perkara ini turut ditekankan dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan berangkat mengadakan lawatan tidak berjadual di beberapa buah universiti di negara ini.

Antara petikan titah Baginda ketika lawatan tidak berjadual di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Baginda menegaskan bahawa matlamat penubuhan KUPU SB adalah untuk melahirkan sumber tenaga manusia berwibawa khususnya dalam perguruan agama.

“Janganlah lari daripada matlamat ini sehingga terjelmalah satu masyarakat bangsa yang benar-benar berilmu, beramal dan bertakwa menurut ajaran Ahli Sunnah Waljamaah. Beta mahu KUPU SB berganding bahu dengan UNISSA bagi memperkukuh aliran Ahli Sunnah Waljamaah di negara ini.”

Dalam era baharu sekarang, macam-macam teori atau pendapat sedang dijaja, dan dalam hal ini, tidak usahlah terpengaruh dengannya bahkan adalah dengan memadai dan selamat untuk kita konsisten dengan ajaran Ahli Sunnah Waljamaah.

“Tumpukanlah masa untuk membina Brunei dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat seperti contohnya ilmu Bahasa Arab, kalau tidak silap Beta KUPU SB mempunyai program pendidikan Bahasa Arabnya, program ini mustahak dipertahankan sambil KUPU SB juga wajar menyumbang kepada sekolah Arab untuk memperkasa Bahasa Arab kerana mata pelajaran bahasa ini masih saja dilihat lemah di sekolah Arab berbanding bahasa lain.”

Ketika lawatan tidak berjadual Baginda ke Universiti Teknologi Brunei (UTB), antara titah Baginda menekankan UTB perlu mengenal pasti etika apakah yang menjadi pilihan. Tanpa diragukan lagi etika yang mesti dijadikan pilihan adalah etika Islam selari dengan budaya bangsa.

Budaya bangsa tidak boleh menerima bulat-bulat segala yang asing tetapi cuma akan menerima apabila ia patut untuk diterima.

“Ini perlu diambil kira selaku bangsa dan negara yang berdaulat lagi merdeka yang mempunyai jati diri tersendiri, jati diri boleh kabur dengan melonggarkan sikap terhadap budaya dan pengaruh asing dalam kehidupan.”

Pusat Penyelidikan Botani UBD

Pusat penyelidikan Botani Universiti Brunei Darussalam (UBD) merupakan salah satu pusat yang memperlihatkan sumber kepelbagaian bio hutan tropika negara ini.

Dengan adanya pusat ini UBD telah mengenal pasti penyelidikan herba dan perubatan sebagai tumpuan utama untuk penyelidikan dan perkembangan yang ada di pusat ini.

Selain daripada mengumpul, membiak dan memelihara pelbagai flora dan spesis-spesis tanaman, penubuhan Pusat Penyelidikan Botani itu juga menyumbang sebagai penyelidikan dan pemerdagangan.

Pusat tersebut telah mengenal pasti sekitar 200 tumbuhan dan 100 spesies pokok yang tumbuh di kawasan yang dianggarkan seluas lima ekar hutan gambut tropika yang dikenali sebagai ‘Keranggas’.

Dengan penubuhan pusat ini, akan mewujudkan peluang-peluang penyelidikan dalam bidang botani, hortikultur, landskap dan lain-lain bidang yang berkaitan, bahkan ia akan dapat membantu melahirkan graduan-graduan yang mahir dari segi perubatan dan sebagainya.

Pusat Penyelidikan Halalan Tayyiban UNISSA

Pusat Penyelidikan Halalan Tayyiban Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) ini mempunyai visi untuk mempromosikan produk Halalan Thayyiban sebagai asas dalam membangun ‘Baldatun Thayyibatun wa Rabbun Ghafur’ di samping misinya bertekad untuk menjadi Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban yang cemerlang dengan reputasi antarabangsa.

Di samping itu, pusat ini juga bertujuan untuk menjana pendapatan kewangan UNISSA dengan memperkenalkan pelbagai produk Halalan Thayyiban sama ada dalam bentuk penyelidikan, penerbitan dan perkhidmatan kepada industri tempatan dan halal antarabangsa.

Selain mengekalkan dan meneguhkan kesucian halalan thayyiban sebagai cara hidup dan amalan melalui pengajaran, penyelidikan, perkhidmatan profesional dan latihan berdasarkan pengetahuan, iman, akidah, ketakwaan dan akhlak sejajar dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah Mazhab Shafi’i.

Pembinaan Sistem Korpus dan Pembinaan Sistem Kamus (Intranet dan Internet)

Memorandum persefahaman (MoU) di antara Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan perjanjian persefahaman rangka kerja bagi mewujudkan jalinan kerjasama kolaborasi dalam bidang-bidang penyelidikan, pendidikan dan program dalam bidang lain bagi faedah bersama.

Fokus permulaan kolaborasi tersebut, DBP dan UTB akan bekerjasama merealisasikan Pembinaan Sistem Korpus dan Pembinaan Sistem Kamus (Intranet dan Internet) bagi keperluan Unit Perkamusan, Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa, DBP bagi tempoh lima tahun.

Kerjasama tersebut akan mengkhususkan Pembinaan Sistem Pengurusan Korpus dan Sistem Pengurusan Kamus, yang mana dengan wujudnya sistem digital berkenaan dapat memberikan manfaat bagi penyebaran Bahasa Melayu melalui kamus dalam talian, bahkan merupakan inovatif yang memudahkan jaringan antara ahli leksikografi di negara ini untuk mendigitalisasikan korpus hasil penyelidikan lapangan.

Sistem ini dihasrat berfungsi sebagai pangkalan data dan storan korpus perkamusan berskala besar yang sistematik dan efisien kerana dapat dicapai melalui intranet iaitu rangkaian dalaman yang menggunakan teknologi internet.

Program Satu Minggu Satu Juzuk

Dalam menitikberatkan kepentingan bacaan Al-Quran murid-murid di persekolahan agama sebagai salah satu mekanisme untuk melahirkan ‘Generasi Al-Quran’, program yang dinamakan ‘Satu Minggu Satu Juzuk’ disasarkan

kepada murid-murid di sekolah-sekolah agama dengan bimbingan guru kelas atau guru Al-Quran.

Antara lain objektif program ialah memantapkan lagi pembacaan Al-Quran murid-murid sekolah agama selain mendidik murid-murid supaya sentiasa membaca Al-Quran sebagai amalan harian.

Dengan adanya program seumpama ini, ia juga akan dapat memantapkan lagi mutu bacaan Al-Quran pelajar di sekolah agama menerusi amalan secara bertalaqi dan sekali gus menyuntik dan mendidik mereka agar sentiasa mencintai dan mengamalkan secara harian di samping melahirkan pelajar yang dapat menguasai bacaan Al-Quran secara bertajwid dan lancar, selain antara aktiviti tahunan sekolah dalam mengeratkan kerjasama dan perpaduan dalam kalangan tenaga pengajar, ibu bapa/penjaga dan pelajar.

Pencapaian dan kemajuan pendidikan dalam pelbagai bidang ini jelas dapat dilihat, melalui peningkatan, program dan kursus yang telah dilaksanakan bukan saja melibatkan penuntut-penuntut malah ia telah melibatkan secara menyeluruh bagi yang mereka yang berkaitan dengan pendidikan di negara ini.

Usaha ini adalah untuk melahirkan generasi gemilang ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.