Oleh Yusrin Junaidi
Gambar Oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 April – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah menekankan agar pihak berkenaan menjadikan pendidikan agama dan dakwah sebagai keutamaan, bukannya sebagai rutin semata-mata malah keduanya memerlukan penumpuan serius untuk sentiasa diperkemas dan diperkasa.
Titah Baginda, dalam usaha untuk memelihara akidah, selain melalui pendidikan, langkah memperkasa dakwah juga adalah mustahak. Kerana dakwah berperanan besar untuk menyuntik kesedaran beragama atau kesedaran berakidah. Sebab itu kalau dakwah lemah, maka akan lemah pula kesedaran ummah.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah, pendidikan agama, janganlah ia indah di atas kertas sahaja, tetapi hendaklah juga indah dan bagus pada amalinya, seperti cara belajar, jadual belajar, masa persekolahan, mata pelajaran, guru dan lain-lain.
“Ini semua sangat penting untuk menjamin keberkesanan pembelajaran. Bahkan mesti diambil kira juga kebajikan penuntut di dalam sekolah, seperti pemakanan dan amali jasmani mereka, kerana kedua-dua faktor ini juga menjadi penentu kepada kesihatan dan pertumbuhan.”
Baginda Sultan menekankan perkara ini dalam titah pada Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara bagi tahun 1438H/2017M di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Menurut Baginda lagi, ketiadaan keduanya atau jika kedua-dua itu diabaikan, ia akan mengundang risiko buruk kepada pertumbuhan penuntut dan jika pertumbuhan lemah, maka pencapaian juga pastinya lemah.
“Kita tidak mahu pendidikan agama lemah, kerana kesannya sangat buruk bagi masa depan. Kita adalah mahu untuk melahirkan ramai para ulama, selaku tonggak untuk memelihara akidah. Akidah amat perlu dipelihara untuk kebaikan bersama. Tanpa pemeliharaan, akidah boleh saja luntur dan lemah”.
Terdahulu itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah menekankan mengenai hikmah peristiwa Israk dan Mikraj yang mana Baginda bertitah antara hikmahnya adalah untuk menguji keimanan kita.
“Kita diuji dengan perkara yang sangat luar biasa, yang tidak mungkin terjangkau oleh akal kita. Dalam makna, ujian ini bukanlah untuk difikir, tetapi semata-mata untuk diyakini. Siapa yang yakin akan beruntung, sementara yang tidak yakin akan rugi.
“Demikian itulah harga iman, imanlah yang menentukan kedudukan kita, sama ada baik atau buruk.”
Dalam hubungan ini, titah Baginda, kita boleh perhatikan siapa Sayyidina Abu Bakar Radhiallahu ‘Anh dan siapa pula Abu Lahab.
Kedua-dua mereka itu sangat berbeza kedudukan. Bersabit dengan peristiwa Israk dan Mikraj, keimanan Sayyidina Abu Bakar dalam membenarkan peristiwa ini adalah penuh dan mutlak sementara dipihak Abu Lahab pula adalah kosong sekosong-kosongnya.
“Jadi di mana nilai dua individu ini di sisi Allah? Seorang, Sayyidina Abu Bakar Radhiallahu ‘Anh telah pun dikhabarkan oleh Nabi S.A.W sebagai salah seorang calon penghuni syurga, sedang Abu Lahab pula akan menderita dibakar oleh api neraka.
“Begitu peranan iman, menjadi penentu kepada kedudukan kita di sisi Allah. Dalam zaman penuh pancaroba ini, keimanan terhadap Allah adalah sangat mustahak. Kerana jika tidak, hidup akan jadi liar dan terumbang-ambing. Jika ada iman, hati kita pasti jinak dan tawaduk dan tidak akan sewenang-wenangnya untuk melakukan perkara-perkara buruk yang menyalahi agama.”