Pendidikan di Sarawak terima peruntukan RM2.174 bilion

SIBU, 12 NOV – Kerajaan Sarawak telah  memperuntukkan sejumlah RM2.174 bilion kepada Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi (MESTR) sejak penubuhannya pada 2017, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan dalam pembangunan modal insan.

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Negeri Dr Annuar Rapaee berkata walaupun pendidikan menjadi tanggungjawab kerajaan Persekutuan namun kerajaan negeri tidak mahu membebankan kerajaan Persekutuan.

Beliau menjelaskan, ini adalah kali pertama kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menubuhkan MESTR bagi memperbaiki keputusan pelajar di Sarawak yang ketinggalan dari segi pendidikan, terutamanya berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia.

“Ini adalah sebahagian daripada  inisiatif kerajaan negeri untuk bersaing. Inilah sebabnya kementerian kita bukan mahu melaksanakan dasar yang berbeza tetapi ia untuk melengkapi dan membantu kerajaan Persekutuan demi untuk memangkin kemajuan pendidikan di Sarawak.” – Bernama