Wednesday, April 23, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pendidikan kanak-kanak kurang upaya diberi perhatian

    Oleh Syahmi Hassan & Sim Y.H.

     

    MMN Logo 2017BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mac – Sejak Kementerian Pendidikan memperkenalkan pendidikan inklusif, di mana dalam perancangan itu, tidak seorang kanak-kanak yang terbiar dalam isu pendidikan ini walaupun kanak-kanak itu mempunyai kekurangan sama ada daripada segi fizikal ataupun mental.

    Di bawah skim inklusif, semua kanak-kanak yang di bawah umur persekolahan akan diberikan kemudahan bersekolah di mana sahaja.

    Jadi dalam perkara ini, pihak Kementerian Pendidikan memang mengambil berat akan persekolahan kepada golongan kurang upaya, tekan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman semasa menjawab soalan yang diusulkan oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Haji Hasrin bin Dato Paduka Haji Sabtu mengenai pelajar-pelajar berkeperluan khas.

    Yang Berhormat Pehin juga menambah bahawa pelbagai usaha telah pun diberikan kepada pelajar-pelajar berkenaan agar mereka dapat menikmati pendidikan yang normal seperti kanak-kanak lain dan mereka tidak akan diasingkan selagi mana mereka masih boleh bergaul dengan kanak-kanak lain.

    “Walau bagaimanapun, jika mereka dalam keadaan-keadaan tertentu memerlukan pengasingan, maka mereka akan diasingkan daripada kelas-kelas lain bagi sesuatu mata pelajaran, akan tetapi dari segi sekolah akan disamakan dengan kanak-kanak lain. Dan jika memerlukan bantuan guru ‘1 to 1’, insya-Allah akan disediakan guru ‘1 to 1 basis’,” jelas Menteri Pendidikan.

    Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi.
    Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi.
    Yang BerhormatPehin Haji Hasrin.
    Yang BerhormatPehin Haji Hasrin.

    Menurut Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi, pada masa ini, keramaian kanak-kanak rakyat tempatan yang memerlukan sokongan/bantuan adalah melebihi 4,000.

    “Dalam perkara ini, memanglah kami menghadapi cabaran untuk menyediakan guru-guru. Dari segi bilangan, kami tidak dapat menyediakan guru-guru yang begitu ramai.

    “Selain itu, dari segi kepakaran mereka, kebanyakan guru-guru ini tidak mempunyai kepakaran yang khusus untuk menjaga kanak-kanak sedemikian,” jelas beliau lagi.

    Walau bagaimanapun, Yang Berhormat Pehin juga menjelaskan bahawa pihak Kementerian Pendidikan berusaha melalui kursus-kursus khas yang telah pun diberikan supaya mereka menjadi pakar dalam bidang masing-masing supaya mereka dapat menjaga kanak-kanak berkenaan dengan betul.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda