Pendidikan mampu ubah hidup – Michelle Obama

CAN GIUOC, VIETNAM, 9 DIS – Bekas wanita pertama Amerika Syarikat (AS), Michelle Obama dan aktres Hollywood, Julia Roberts mengunjungi sebuah sekolah tinggi di kawasan luar bandar Vietnam hari ini, menyeru remaja perempuan dalam sebuah kelas supaya menumpu kepada pendidikan untuk mengubah kehidupan mereka.

Kempen promosi persekolahan budak perempuan telah menjadi asas kerja kebajikan Obama sejak suaminya Barack Obama bersara pada 2017 selepas dua penggal menjadi presiden AS.

“Apabila anda mendidik seorang budak perempuan, anda memberikan mereka kuasa dan satu suara dan peluang untuk mempertingkat kehidupan mereka dan kehidupan keluarga serta kehidupan komuniti mereka,” kata Obama di sekolah tinggi Can Giuoc di selatan wilayah Long An di Delta Mekong.

Diiringi oleh Roberts dan Jenna Bush Hager, anak perempuan bekas presiden AS George W. Bush, Obama menggalak budak perempuan supaya meneruskan persekolahan mereka.

“Saya mahu kamu semua kekal komited dan fokus, ia akan menjadi sukar ada kalanya, namun ia berbaloi,” kata beliau, sebelum wanita itu duduk dan berbual dengan pelajar. – AFP

Bekas Wanita Pertama AS Michelle Obama dan aktres Hollywood Julia Roberts bertemu dengan pelajar Vietnam di daerah Can Giuoc, wilayah Long An kelmarin. – AFP