Pendidikan terbantut akibat gempa di Puerto Rico

SANTA ISABEL, PUERTO ROCI – Kelas baru saja bermula apabila seorang bapa memandu ke sebuah gazebo di mana Nydsy Santiago telah mengubahnya menjadi sebuah sekolah pra.

Bapa itu bertanya kepada Santiago sama ada anaknya boleh menjadi muridnya. Santiago menolak dengan berat hati dan menjelaskan bahawa dia hanya dibenarkan untuk mengajar 23 pelajarnya sendiri, di mana lebih 194,000 lagi kanak-kanak di Puerto Rico tidak ke sekolah hampir sebulan selepas gempa berkekuatan 6.4 magnitud melanda wilayah selatan pulau itu dan pegawai telah memaksa untuk menutup puluhan sekolah awam di sana.

“Saya harap ini akan kembali seperti biasa,” kata Santiago ketika dia mengejar kertas yang terbang setelah ditiup angin pagi baru-baru ini.

Tetapi hanya sedikit yang yakin perkara itu akan berlaku. Kelas-kelas di wilayah berhampiram AS itu sepatutnya bermula pada 9 Januari dan sementara 331 sekolah dibuka lewat akibat bencana gempa itu, 61 peratus dari 856 sekolah di pulau itu masih ditutup serta semakin banyak yang menyalahkan Jabatan Pendidikan pulau itu kerana situasi tersebut.

Mercedes Martínez, presiden Persekutuan Guru Puerto Rico, berkata tidak dapat diterima bahawa tiada alternatif lain untuk kanak-kanak itu menghadiri salah satu daripada 525 sekolah yang masih ditutup.

Guru tadika Nydsy Santiago menggunakan komputer riba untuk memainkan muzik sambil mengajar murid-muridnya. – AP
Sesetengah kanak-kanak di Puerto Rico tidak bersekolah hampir sebulan selepas gempa bumi berkekuatan 6.4 magnitud memukul pulau itu dan memaksa para pegawai untuk menutup sekolah-sekolah awam. – AP

“Kerajaan Puerto Rico telah cuai dari awal,” katanya.

“Mereka tidak bertindak cepat. Mereka tidak ada pelan strategik. Mereka tidak mempunyai rancangan bagaimana memulakan semester pada masa ini.”

Keadaan ini menyebabkan peningkatan pelajar bersekolah di rumah dan mendorong beberapa guru seperti Santiago secara sukarela mencari lokasi yang sesuai dan menyambung semula kelas dengan kebenaran daripada ibu bapa.

Santiago mula meninjau sekitar kampung halamannya, Santa Isabel selepas 19 daripada 23 orang ibu bapa menjawab dengan pelbagai reaksi teruja apabila dia mencadangkan ideanya bulan lalu di dalam kumpulan WhatsAppnya.

Santiago memandu di sekitar bandar pantai selatan dan berfikir untuk membuat kelas di sebuah taman berhampiran apabila dia terlihat buaian dan bangku-bangku simen.

Dia akhirnya menggunakan gazebo kecil berdekatan trek larian, pegawai bandar telah membekalkannya dengan meja dan kerusi plastik dan juga memasang langsir putih untuk berlindung daripada matahari.

Melihat dari jauh adalah rakan guru sekolah tadikanya, Esther Cordero yang menggeleng kepalanya sambil mengkritik pegawai kerajaan yang masih menangani masalah selepas gempa bumi membunuh seorang, memusnahkan beratus-ratus kediaman dan membuatkan Presiden AS, Donald Trump meluluskan deklarasi bencana besar.

Rakannya, Madeline Cruz, seorang ibu anak tiga berusia 37 tahun yang sekolahnya masih ditutup, bersetuju.

“Mereka sepatutnya melabur dengan membantunya segera,” katanya. “Jabatan Pendidikan tidak memberi perhatian kepada perkara ini,” katanya. “Terdapat alternatif lain.”

Aduan kepada pihak kerajaan kurang mendapat respons sama seperti peristiwa Ribut Maria tahap 4 melanda Puerto Rico pada September 2017, mengakibatkan kerugian dianggarkan AS$100 bilion kerosakan dan membunuh kira-kira 2,975 orang.

Wanita-wanita itu merancang mengikuti jejak Santiago dan berharap dapat mengadakan kelas di gazebo berdekatan jika mereka mendapat kebenaran daripada ibu bapa, sambil menambah bahawa mereka bosan menunggu pemerintah untuk bertindak.

Eligio Hernández, setiausaha pendidikan Puerto Rico, mengumumkan bahawa 103 lagi sekolah dibuka pada minggu ini.

“Proses ini adalah satu tanggungjawab, terperinci dan menyeluruh, kerana perkara yang paling penting bagi kami adalah kesihatan dan keselamatan semua komuniti sekolah,” katanya dalam satu kenyataan.

Jurutera telah membuat pemeriksaan beratus-ratus sekolah awam, tetapi gempa susulan yang kuat melanda, seperti gempa berkekuatan 5.0 magnitud telah memaksa pemeriksaan semula setelah ahli seismologi memberi amaran bahawa gegaran akan berterusan selama berminggu-minggu. Sekurang-kurangnya 69 buah sekolah belum lulus pemeriksaan.

Pegawai pendidikan juga telah mengatakan bahawa sesetengah sekolah akan menjalankan dua jadual yang berlainan untuk menampung pelajar dari wilayah lain manakala guru terus menuntut jawapan tentang bagaimana situasi itu akan ditangani dalam jangka masa panjang.

Apabila kurang tindak balas daripada pegawai pendidikan, sesetengah ibu bapa memilih menyekolahkan anak mereka di rumah, kata Nydia Villanueva, yang mengadakan persekolahan di rumah dengan kumpulan bernama Amanecer Educativo.

“Telefon saya sentiasa berbunyi,” katanya. “Dalam seminggu setengah, saya menerima lebih daripada 240 panggilan.”

Antara mereka yang menelefon memutuskan untuk menghantar anaknya ialah Mónica Ortiz dari bandar Aguas Buenas, di mana hanya kerosakan kecil dilaporkan di sana.

Dia bimbang anak sulungnya tidak dapat menamatkan pengajian pada masa itu dan kelewatan kelas bagi anaknya, berusia 13 tahun, yang merupakan pelajar pendidikan khas.

Ortiz berkata bahawa dia tidak menerima sebarang maklumat mengenai sekolah menengah anaknya dan hanya diberitahu bahawa sekolah anaknya belum bersedia untuk dibuka dan ia tidak jelas bila ia akan dibukakan.

“Ia satu perkara yang baik mereka tidak tergesa-gesa untuk membuka sekolah,” katanya. “Apa yang saya tidak dapat diterima ialah mereka tidak menemui alternatif.”

Sesetengah panggilan yang diterima Villanueva adalah daripada ibu bapa yang bimbang bahawa pemeriksaan sekolah yang sedang dijalankan hanya untuk menilai kerosakan, tapi tidak memeriksa sama ia boleh menahan gempa atau struktur tidak kuat.

Marcos Santana, pengarah Rangkaian Puerto Rico untuk Hak Kanak-kanak dan Belia, berkata terdapat banyak pilihan yang tidak memerlukan empat dinding.

“Kami menyedari bahawa ia adalah situasi yang luar biasa, tetapi Jabatan Pendidikan jelas tidak mempunyai rancangan untuk kecemasan itu,” katanya. “Alasan tidak mempunyai bangunan tidak boleh diterima lagi,” katanya. -AP