Friday, April 19, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Pendigitalan, inovasi pacu ekonomi

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JULAI – Pendigitalan dan inovasi adalah asas kepada sebuah sosioekonomi yang saling berhubungan, melimpah ruah dan mantap.

    Pada masa yang sama, pendigitalan dan inovasi juga berada di barisan hadapan bagi pembangunan ekonomi jangka panjang di serata dunia dan rantau ini.

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam ucaptama pada Pelancaran Makmal Inovasi Brunei (BIL) yang berlangsung di Knowledge Hub, Anggerek Desa, hari ini.

    Menurut Yang Berhormat Dato, jalan menuju ke arah pendigitalan merupakan satu titik permulaan yang berbeza bagi setiap ekonomi dan amat mustahak bagi setiap orang mempunyai visi mengenai di mana mereka ingin berada dan panduan bagaimana untuk mencapainya. Bagi Brunei, jelasnya, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menerbitkan Pelan Induk Ekonomi Digital pada Jun 2020 untuk mencapai transformasi digital dibimbing oleh visi ‘Negara Pintar melalui Transformasi Digital.’

    Oleh itu, BIL merupakan kolaborasi antara sektor awam dan sektor swasta, yang bertujuan untuk menyokong visi Pelan Induk Ekonomi Digital serta menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem bagi teknologi digital dan sebagai inspirasi serta pusat pertumbuhan bagi usahawan teknologi dan juara digital negara. Pada masa ini, tambah Yang Berhormat Dato, ekosistem inovasi di Brunei masih di peringkat awal jika dibandingkan dengan rantau, namun begitu mempunyai potensi yang besar.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew menyampaikan ucaptama pada pelancaran Makmal Inovasi Brunei di Knowledge Hub, Anggerek Desa,kelmarin.

    Brunei berada di ranking 71 dalam kalangan 131 buah negara pada Indeks Inovasi Global seperti yang disenaraikan oleh World Intellectual Property Organisation (WIPO) Global Innovation.

    Untuk mempercepatkan pembangunan inovasi dan memupuk usahawan teknologi dalam kalangan warga tempatan, BIL akan menyediakan sokongan yang diperlukan, merangkumi mentoring dalam set kemahiran ICT yang khusus, kebolehpasaran produk dan perkhidmatan serta pembiayaan.

    Yang Berhormat Dato melahirkan harapan supaya pemain-pemain pasaran masa ini dan akan datang, dapat memanfaatkan BIL sebagai platform bagi kolaborasi menyeluruh dengan pihak-pihak berkepentingan utama dalam industri. Beliau seterusnya menerangkan bahawa tiga tunggak yang dikenal pasti di bawah BIL ialah acara dan pameran terpilih untuk memacu serta menjana inovasi dengan Digital Playroom menyediakan pengalaman yang mengasyikkan dengan aplikasi AI dan teknologi VR/AR.

    Sementara itu, Program Brunei Innovate bertujuan untuk menyokong pembangunan syarikat pemula dan mengembangkan usahawan teknologi untuk mengkomersialkan perkhidmatan serta produk mereka. Manakala itu, Program Capability Accelerator merangkumi tech masterclass yang khusus untuk membangunkan kesedaran dan kompetensi dalam teknologi pendigitalan seperti AI, robotics and automation serta blockchain.

    Untuk melaksanakan program-program berkenaan, BIL bekerjasama dengan ramai rakan-rakan kongsi ekosistem yang akan mengongsi kepakaran mereka dalam menyediakan penyelesaian dan latihan teknikal.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...