Pendigitalan perlu didukung keselamatan siber

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan MTIC

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Dengan impak daripada pandemik COVID-19, pendigitalan menjadi jentera penggerak bagi sektor-sektor yang diharapkan oleh masyarakat dan perniagaan untuk kesinambungan, kestabilan, kesejahteraan dan kelestarian dengan sektor-sektor ini perlu untuk didukung oleh keselamatan siber.

Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof yang juga menteri bertanggungjawab bagi keselamatan siber Negara Brunei Darussalam menekankan pandangan Brunei semasa menghadiri Minggu Siber Antarabangsa Singapura (SICW) dan Persidangan Menteri-menteri ASEAN mengenai Keselamatan Siber (AMCC) ke-6 yang diadakan secara persidangan video pada 5 hingga 7 Oktober.

Semasa sesi tersebut, Yang Berhormat Dato telah mengongsikan perspektif Negara Brunei Darussalam di mana digitalisasi adalah salah satu teras strategik yang dikenal pasti semasa Brunei mempengerusikan ASEAN bagi tahun 2021.

Menurutnya lagi, cabaran-cabaran yang dihadapi daripada ancaman dan insiden keselamatan siber, terutama semasa pandemik COVID-19, komitmen dalam keselamatan siber kini bukan sahaja untuk perlindungan infrastruktur maklumat kritikal (CIIs), tetapi juga keperluan untuk menangani isu utama seperti integriti dan kedaulatan data, langkah-langkah membina keyakinan dan turut sama penting, adalah mengukuhkan kolaborasi dan penyelarasan bersama badan-badan sektoral yang lain.

Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) dalam kenyataannya, hari ini, menyatakan SICW 2021 dan AMCC ke-6 itu turut disertai Setiausaha Tetap di MTIC, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi) di MTIC, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim; Pesuruhjaya Interim Cyber Security Brunei (CSB), Awang Shamsul Bahri bin Haji Kamis serta pegawai-pegawai kanan dari MTIC dan CSB.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib semasa menyertai sidang SICW dan AMMC ke-6.
Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi ketika menghadiri SICW dan AMCC ke-6.

Dengan membawa tema Living with COVID-19 – Reimagining Digital Security Risks and Opportunities, SICW 2021 telah dirasmikan oleh Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Teo Chee Hean.

Pembukaan rasmi itu diikuti dengan SICW Ministerial Roundtable di mana Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib turut serta sebagai speaker dalam sesi perbincangan mengenai A Multi-stakeholder Approach to Cybersecurity.

AMCC ke-6 yang diadakan sebagai sebahagian daripada SICW 2021 pada 6 Oktober lalu merupakan dialog antara menteri-menteri ASEAN yang bertanggungjawab ke atas ICT dan keselamatan siber untuk membincangkan isu-isu utama keselamatan siber serantau.

Persidangan itu dimulakan dengan pelancaran rasmi ASEAN-Singapore Cybersecurity Centre of Excellence oleh Menteri Komunikasi dan Penerangan, Puan Yang Terutama Josephine Teo yang juga menteri bertanggungjawab ke atas negara pintar dan keselamatan siber Republik Singapura dengan disaksikan oleh menteri-menteri dan ketua delegasi ASEAN.

Semasa persidangan itu, Yang Berhormat Dato mengongsi pandangan dan menyambut baik perkembangan dalam penyediaan Regional Action Plan on the Implementation of the Norms of Responsible State Behaviour in the Cyberspace.

Beliau juga menekankan mengenai keperluan bagi norma-norma siber (cybernorms) diterima secara menyeluruh dan dijadikan sebagai tindakan-tindakan yang praktikal untuk diaplikasikan dalam pelbagai sektor.

Selain itu, inisiatif-inisiatif berkaitan hendaklah relevan dengan fokus dan keutamaan badan-badan sektoral ASEAN.

Persidangan AMCC ke-6 juga menumpukan kepada Strategi Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN 2021 – 2025, di mana apabila ia dimuktamadkan nanti akan menjadi peta jalan kepada strategi ASEAN dalam mengukuhkan kerjasama serantau dalam keselamatan siber.

Persidangan itu juga mengukuhkan sokongan ke atas 11 voluntary, non-binding norms of responsible state behaviour in the use of ICTs dan seterusnya mengambil maklum ke atas laporan United Nations Open-Ended Working Group (OEWG) dan 6th United Nations Group of Governmental Experts (GGE) on international security in cyberspace.

SICW 2021 juga mengadakan sesi penutup bagi Ministerial Roundtable pada 7 Oktober yang mengetengahkan wakil daripada sektor kerajaan dan industri untuk membincangkan mengenai cara untuk mendepani peluang dan risiko dalam norma baharu dari perspektif keselamatan siber.