Pendirian yang berbelah bahagi

Oleh Zulkamal Haji Kamis

SEBUAH drama yang berkonsepkan komedi sitkom dan keluarga, No Good Nick baru sahaja disiarkan pada 15 April yang lalu di Amerika Syarikat. Drama ini diterbitkan dan dicipta oleh David H.Steinberg dan Keetgi Kogan serta disiarkan dalam saluran web Netflix.

Drama yang turut mengemukakan isu tentang seorang budak remaja ini dibintangi oleh pelakon-pelakon yang berkebolehan iaitu Siena Agudong, Lauren Lindsey Donzis, Kalama Epstein, Sean Astin dan juga Melissa Joan Hart.

Drama No Good Nick ini dijangka akan menayangkan 10 buah episod yang akan menampilkan pelbagai kronologi plot yang menarik dan juga berunsurkan ‘humor’.

Drama ini telah diumumkan oleh Netflix pada 21 September 2018 di mana pada mulanya, drama ini dijangka akan mempunyai sekitar 20 episod, namun akhirnya selepas beberapa perbincangan bersama dengan produksi, akhirnya drama ini bakal menayangkan 10 episod sahaja.

Plot ringkas

No Good Nick mengisahkan mengenai seorang budak perempuan yang berusia 13 tahun bernama Nicole atau nama singkatannya Nick, yang berpura-pura mesra dengan keluarga angkatnya dan berhasrat untuk membalas dendam atas tindakan keluarga angkatnya itu yang menyebabkan hidupnya hancur dan musnah tanpa keluarga itu sedari.

Sepanjang mengenali keluarga tersebut, pendirian Nick sedikit berubah kerana keluarga angkatnya itu melayannya dengan penuh kasih sayang dan baik sekali sehingga menyebabkan Nick dalam dilema sama ada untuk meneruskan rancangannya itu ataupun sebaliknya.

Adakah Nick akan berjaya merencanakan balas dendamnya, adakah dia telah mula menyayangi keluarga baharunya itu, saksikan plot seterusnya dalam drama No Good Nick dalam saluran Netflix.

Nick atau nama sebenarnya, Nicole berpura-pura mesra dengan keluarga baharunya untuk menjalankan niat jahatnya untuk membalas dendam.