MANAUS, 29 OGOS – Asap daripada kebakaran hutan di hutan hujan Amazon Brazil kelmarin menyebabkan orang ramai di rantau itu batuk, melecur kerongkong dan mata mereka merah.
Petak besar negara telah diselubungi asap sejak beberapa hari kebelakangan ini, akibat kebakaran yang marak merentasi Amazon, savana Cerrado, tanah lembap Pantanal dan negeri Sao Paulo.
Penduduk berasa keperitannya termasuk Fátima Silva, seorang petani berusia 60 tahun di bandar Labrea di Amazon.
“Saya tidak sihat. Saya berasa sesak nafas, tekak saya sakit, mata saya memerlukan ubat titis mata, saya tidak boleh keluar di jalanan, saya tidak boleh ke mana-mana kerana semuanya putih dengan asap,” kata Silva kepada AP sambil menambah bahawa cucu-cucunya batuk sehingga sukar tidur.
Pembakaran terbuka kebiasaannya digunakan untuk penebangan hutan dan untuk menguruskan padang rumput dan kali ini kebakaran buatan manusia itu bertanggungjawab apabila menyalakan kebakaran hutan tersebut.
Di Amazon, terdapat 53,620 titik kebakaran antara 1 Januari dan 27 Ogos, peningkatan 83 peratus daripada tempoh yang sama tahun lepas, menurut Institut Penyelidikan Angkasa Negara, sebuah agensi persekutuan.
Di seberang Amazon, banyak kawasan diklasifikasikan sebagai mempunyai pencemaran udara ‘sangat teruk’ atau ‘mengerikan’ kelmarin, menurut sistem pemantauan alam sekitar Universiti Negeri Amazonas.
Dalam kes kebakaran hutan dan akibat asap yang terhasil, pihak berkuasa pertahanan awam negeri Amazonas telah mengesyorkan agar penduduk sentiasa minum air untuk kekal terhidrat dan duduk di dalam rumah.
Tetapi peniaga jalanan, pemungut sampah, pengawal lintasan dan pekerja lain perlu keluar dan tidak dapat mengelakkan asap. Lebih teruk lagi, kerana mereka perlu bekerja lebih keras untuk bernafas dalam keadaan itu menyebabkan lebih banyak zarah berbahaya disedut masuk ke dalam paru-paru mereka, menurut Jesem Orellana, seorang penduduk Manaus iaitu bandar terbesar di Amazon, dan juga ahli epidemiologi dan penyelidik di Institut Fiocruz.
Penduduk Manaus selalu menjangkakan ‘asap kematian’ pada pertengahan September dan Oktober apabila kebakaran dan penebangan hutan hampir memuncak, tetapi sebaliknya tahun ini, masalah asap muncul lebih awal, tambahnya.
“Ini bermakna kita akan terdedah kepada asap toksik ini untuk tempoh yang lebih lama lagi. Ini mempunyai implikasi langsung kepada kesihatan penduduk,” kata Orellana kepada AP. Kesan asap ini juga melangkaui kesihatan fizikal, katanya, apabila mencetuskkan rasa bimbang yang boleh menjejaskan kualiti tidur.
Maria Soledade Barros Silva, yang tinggal di kejiranan Ponta Negra di Manaus, berkata kawasan pantai berhampiran tempat orang ramai berbasikal, meluncur, kasut roda dan jetski diselimuti asap tebal. Navigasi laluan air yang menjadi tumpuan penduduk juga menjadi lebih rumit.
“Ia bukan perkara biasa. Saya telah tinggal di sini selama 40 tahun. Kami tidak mengalaminya sebelum ini. Saya rasa ini adalah tempat paling teruk di dunia. Kami perlukan bantuan kerana kami tidak boleh hidup seperti ini lagi,” ujar Silva. – AP