Wednesday, April 17, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Penduduk Bangkok keluar mengundi

    BANGKOK, 22 MEI – Warga Bangkok keluar mengundi hari ini dalam pilihan raya gabenor pertama dalam tempoh hampir satu dekad, dengan undian itu dilihat sebagai penunjuk bagi pilihan raya umum yang dijangkakan dalam masa setahun.

    Kira-kira empat juta orang layak mengundi dalam pilihan raya besar pertama sejak bantahan besar-besaran di jalan raya yang dipimpin belia Thailand pada 2020, menuntut perubahan politik dan reformasi ke atas monarki.

    Namun kehidupan harian berbanding politik telah mendominasi kempen calon-calon, dengan calon yang mendahului berjanji untuk membersihkan megapolis didiami 10 juta orang itu yang sesak, tercemar dan bising.

    Pusat-pusat undian dibuka di seluruh Bangkok pada pukul 8 pagi (waktu setempat), ditutup pukul 5 petang, dengan pemeriksaan-pemeriksaan suhu badan dan sekatan COVID-19 dilaksanakan di setiap pusat.

    “Saya tidak teruja mengenai pilihan raya ini. Ia tidak akan mengubah Bangkok, tetapi saya mengundi orang yang saya fikir dapat mengubah Bangkok, meskipun sedikit,” kata lelaki berusia 28 tahun yang hanya memberi nama singkatannya Nat, selepas membuang undi.

    Calon bebas, Chadchart Sittipunt meninggalkan stesen undian selepas membuang undinya dalam pilihan raya gabenor di Bangkok, kelmarin. – AFP

    Rekod 30 calon bertanding bagi jawatan itu, mencuba nasib lapan tahun selepas rampasan kuasa 2014 yang menyaksikan pilihan raya tempatan dibatalkan dan bandar itu ditadbir oleh pemimpin-pemimpin dilantik kerajaan.

    Awal pagi hari ini, pesaing yang disebut-sebut akan menang dan calon bebas Chadchart Sittipunt dilihat berbasikal ke stesen undian setempatnya untuk membuang undi.

    Bekas menteri pengangkutan bagi kerajaan yang digulingkan dalam rampasan kuasa lalu telah berjanji untuk menangani kesesakan trafik yang teruk di bandar itu, serta membuat beberapa ikrar hijau dan bertegas bahawa pe-ngundi mahukan perubahan daripada perpecahan politik yang berakar umbi.

    Beliau berdepan saingan penjawat kini Aswin Kwanmuang, bekas jeneral polis yang disokong Perdana Menteri Prayut Chan-O-Cha, yang juga berjanji untuk membaiki isu-isu bandar itu yang tidak ada kesudahannya.

    Tetapi rekod buruknya terhadap isu itu, selepas hanya enam tahun sebagai gabenor, menyaksikannya berdepan kritikan selepas beberapa bahagian Bangkok dibanjiri awal minggu ini berikutan hujan lebat. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Iran tutup sementara kemudahan nuklear

    TEHRAN, 16 APRIL – Iran menutup sementara kemudahan nuklearnya atas ‘pertimbangan keselamatan’ susulan serangan peluru berpandu dan dron besar-besarannya ke atas Israel pada hujung...