Penduduk bumi diramal 8.8 Bilion menjelang 2100

PARIS, 15 JULAI – Penduduk dunia diunjurkan mencapai 8.8 bilion menjelang 2100, dua bilion lebih rendah berbanding anggaran semasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Satu kajian diterbitkan hari ini turut meramalkan perubahan kuasa baharu global yang dibentuk oleh penurunan kadar kesuburan dan penduduk berusia lanjut.

Menjelang akhir abad ini, di 183 daripada 195 negara, jika tidak mengambil kira kebanjiran pendatang asing, penduduknya akan berkurangan sehingga bawah paras yang perlu untuk mengekalkan keseimbangan, menurut laporan pasukan penyelidik antarabangsa dalam The Lancet.

Lebih 20 negara, termasuk Jepun, Sepanyol, Itali, Thailand, Portugal, Korea Selatan dan Poland, akan menyaksikan jumlah penduduknya susut sekurang-kurangnya separuh. China juga diramalkan mengalami nasib sama, di mana daripada 1.4 bilion penduduk yang ada sekarang dijangka berkurangan menjadi 730 juta dalam tempoh 80 tahun lagi. Sementara itu, penduduk negara Sub Sahara dijangka bertambah tiga bilion lagi, dengan Nigeria berkembang kepada hampir 800 juta pada 2100, kedua di belakang India yang diramalkan mencatat 1.1 bilion penduduk.

Ketua pengarang, Christopher Murray, yang juga pengarah Institut Kesihatan Metrik dan Penilaian (IHME) di Universiti Washington, berkata ramalan itu adalah khabar baik kepada persekitaran.

“Ini kerana tekanan terhadap sistem pengeluaran makanan dan pengeluaran gas karbon akan berkurangan, selain mencipta peluang ekonomi kepada sebahagian negara sub Sahara Afrika.

“Bagaimanapun, kebanyakan negara di luar Afrika akan mengecil khususnya daripada aspek tenaga kerja, yang akan memberikan kesan negatif kepada ekonomi,” katanya. Tambah beliau, bagi negara berpendapatan tinggi di bawah kategori itu, penyelesaian terbaik untuk mengekalkan tahap penduduk dan pertumbuhan ekonomi adalah dasar imigresen yang anjal serta sokongan sosial kepada keluarga yang mahu menambah bilangan anak. – AFP