Penduduk di zon merah diingatkan tidak keluar kecuali penting

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar mengingatkan sekali lagi kepada orang ramai terutama penduduk yang tinggal di mukim-mukim zon merah untuk tidak keluar rumah kecuali ada keperluan penting seperti membeli makanan.

“Bukan itu sahaja, malahan mereka yang berkenaan juga dilarang untuk mengunjungi ke rumah-rumah jiran,” katanya semasa menjelaskan menge-nai mukim-mukim zon merah yang mencatatkan jumlah jangkitan yang ramai melebihi 80 kes yang dikongsikan kelmarin.

Menurutnya lagi, dengan perkongsian mengenai mukim-mukim yang berada di zon merah itu, ia memudahkan orang ramai untuk memahami bahawa kalau ada zon merah itu maksudnya risikonya sangat tinggi dan diharapkan orang ramai dapat memainkan peranan penting untuk berjaga-jaga dan menasihati antara satu sama lain untuk tidak keluar rumah kecuali perlu.

Ketika ditanya mengenai perincian kluster Serambangun, beliau menjelaskan kluster itu adalah pusat perindustrian yang menjalankan ternakan udang dan mempunyai pekerja yang ramai.

“Kebanyakannya tinggal di rumah pekerja yang mempunyai seksyen-seksyen, walaupun ramai yang dijangkiti sekitar 155 didapati positif tetapi mereka masih dapat menjalankan perniagaan mereka berdasarkan pelan kelangsungan perniagaan (BCP), namun yang kena kuarantin telah ditempatkan di kuarters yang berlainan dan yang mereka yang positif juga sudah dipindahkan ke pusat pengasingan,” ujar beliau.