LOS ANGELES, 31 Mei – Pihak berkuasa Hawaii semalam menggesa penduduk untuk mengosongkan kawasan yang berisiko untuk terputus hubungan akibat aliran lahar daripada letusan gunung berapi Kilauea.
“Pusat Pemantauan Gunung Berapi Hawaii melaporkan bahawa lahar daripada beberapa celah gunung terus maju ke arah kawasan Kapoho,” menurut kenyataan Pertahanan Awam yang merujuk kepada kawasan yang dahsyat semasa letusan yang pernah berlaku pada tahun 1960.
“Penduduk Kapoho, Beach Lots dan Vacationland dinasihatkan untuk berpindah. Anda berisiko untuk terperangkap akibat kemungkinan berlakunya banjir lahar,” menurut kenyataan itu lagi.
Pihak berkuasa sebelum ini menasihatkan bahawa aliran lahar dari Fissure 8 telah menyekat lebuh raya utama dan menyebabkan bekalan tenaga elektrik terputus dan menggesa penduduk kawasan berhampiran berpindah kerana komunikasi telefon sudah terputus.

Sementara itu, gempa berukuran 4.5 magnitud menurut kiraan pusat gempa di Kilauea telah berlaku pada jam 11 pagi waktu tempatan, kelmarin. Walaupun ia dirasai dengan kuat di kawasan itu, pihak berkuasa menolak kemungkinan berlakunya ancaman tsunami.
Pihak berkuasa tempatan tidak dapat mengesahkan kepada AFP berapa ramai orang yang akan dipindahkan. Namun setakat ini, kira-kira seramai 2,000 penduduk telah meninggalkan kediaman mereka akibat letusan yang telah merosakkan 71 buah rumah itu. Lahar telah membanjiri kawasan seluas kira-kira 9.5 kilometer persegi hingga mencecah kawasan lautan, menghasilkan asap ‘laze’ iaitu asap asid yang terhasil ketika lahar bertemu dengan air.
Kilauea adalah salah satu daripada lima gunung berapi di Big Island, Hawaii.
Para saintis percaya aktiviti gunung berapi itu mungkin berlaku sebagai tindak balas kepada letusan utama yang serupa, yang telah menggegarkan pulau itu pada pertengahan tahun 1920-an. – AFP