Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Penduduk dunia cecah 8 bilion bulan ini

    NEW YORK, 7 NOV – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan jumlah penduduk global akan mencecah lapan bilion menjelang pertengahan November ini.

    Penduduk dunia dijangka terus berkembang walaupun pada kadar lebih perlahan dan dengan jurang antara negara serantau, dalam dekad akan datang.

    Bahagian Penduduk dan Pembangunan Tabung PBB untuk Aktiviti Kependudukan (UNFPA) menganggarkan bilangan penduduk bumi mencecah lapan bilion pada 15 November, iaitu peningkatan lebih tiga kali ganda berbanding 2.5 bilion pada 1950.

    Bagaimanapun, selepas kemuncaknya pada awal 1960an, kadar pertumbuhan penduduk dunia menurun secara mendadak, beritahu Ketua Bahagian UNFPA, Rachel Snow kepada AFP.

    Jumlah itu berpotensi merudum sekitar 0.5 peratus menjelang 2050 disebabkan penurunan berterusan dalam kadar kesuburan, demikian unjuran PBB.

    Berikutan peningkatan dalam jangka hayat serta bilangan individu yang masih boleh hamil, PBB mengunjurkan penduduk akan terus meningkat kepada kira-kira 8.5 bilion pada 2030, seterusnya 9.7 bilion (2050) dan kemuncak kira-kira 10.4 bilion pada 2080an.

    Faktor utama yang mendorong pertumbuhan penduduk global ialah purata jangka hayat terus meningkat, iaitu 72.8 tahun pada 2019, menyaksikan pertambahan usia sembilan tahun jika dibandingkan dengan 1990, sementara PBB meramalkan purata jangka hayat 77.2 tahun menjelang 2050.

    Ditambah dengan penurunan kadar kesuburan, bilangan individu berusia lebih 65 tahun dijangka meningkat daripada 10 peratus pada 2022 kepada 16 peratus pada 2050.

    Peningkatan kadar penuaan global ini akan memberi kesan kepada pasaran buruh dan sistem pencen negara, selain sesebuah negara memerlukan lebih banyak pusat penjagaan warga emas. – AFP

    Gambar fail bertarikh 14 Oktober 2022 menunjukkan anak damit di wad bersalin hospital Vita di Sofia. PBB menjangkakan jumlah penduduk global akan mencecah lapan bilion menjelang pertengahan November ini. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...