Penduduk harap pembangunan ekonomi

KINABATANGAN, 5 NOV – Projek Lebuh raya Pan Borneo Sabah Zon Timur diharap mampu menjadi pencetus kepada pembangunan sosioekonomi penduduk setempat terutama peniaga kecil yang terlibat sepanjang jajaran projek itu.

Penduduk terlibat ketika ditemui berkata lebuh raya itu bukan sahaja perlu menjadi pemudah sistem pengangkutan, sebaliknya turut dapat ‘menghidupkan’ sosioekonomi kawasan terlibat dengan perancangan jajaran projek yang teliti.

Pemilik restoran, Adillia Madjaril, 48, berkata penduduk terutama peniaga kecil akan memperoleh manfaat terutama peningkatan perniagaan dan ekonomi apabila jajaran lebuh raya itu dibuat berhampiran kawasan mereka.

“Perlu dibuat (jajaran) hampir dengan sini (pekan Kinabatangan), jika tidak orang ramai hanya melepasi pekan ini melalui lebuh raya itu, tidak singgah.

“Jika ini berlaku tidak mustahil pekan ini akan ‘mati’ dan peniaga kecil seperti kami akan terkesan. Kami mohon rancang baik-baik supaya semua penduduk dapat manfaat sepenuhnya,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini. – Bernama

Peniaga di sepanjang Lebuh raya Pan Borneo berharap pembinaan lebuh raya itu dapat meningkatkan lagi sumber ekonomi mereka. – Bernama